Bertenang dan terus bersabar...
Orang kata aku jenis yang kuat bersabar. Ada jugak yang melihat kesabaran itu sebagai kepuraan. Menahan amarah dan pelbagai rasa negatif sebenarnya hanya boleh dan perlu dilakukan dengan bersabar dan terus bersabar.
Dengan sabar, kita diberi ruang untuk berfikir. Diberi ruang untuk mengkaji, apa yang baik dan apa yang buruk. Tindakan apa yang ingin diambil, yang boleh dan yang tak boleh. Tiap kata yang akan keluar dari bibir juga akan ditapis elok, disusun rapi, diluah cantik.
Hikmah kesabaran membawa kepada ketenangan jiwa dan kebaikan buat diri serta seluruh alam. Semua ini semata-mata hanyalah untuk mencari keredhaan yang kita sulam dengan keikhlasan. Redha siapa? Bukan manusia, tapi Maha Pencipta; Allah S.W.T...
Penceritaan tentang pencarian... Umaira si penenang dan peneman hati. Niat itu baik, tapi keadaan seolah jauh dari mampu. Kenapa? Kenapa aku persoalkan kata 'jauh dari mampu'? Bagi aku mudah... Konsep berserah diri atas usaha, doa dan tawakal. Aku giat beristikharah. Berminggu. Berbulan. Pagi dan petang, siang dan malam. Jawapan yang sesuai, 'anugerah itu belum untukku'...
Segalanya kini aku rasakan telahpun menemui penghujung jalan hikayat cerita. Benar dengan yakin bahawa tiada lagi cerita antara aku dan dia.
Mendung langit berarak gelap seperti sayunya dihati dan gundah rasa yang menyapa dijiwa. Wajah itu ku renung berkali sebelum aku berlalu pergi. Leka termangu seketika. Entah apalah tarikan buat hatiku pernah bertaut lama, terpukau rasa, mungkinkah dek kehendak dan dorongan nafsu atas sesuatu tanpa pernah aku sedar? Atau buat-buat tak sedar?
Perlu untuk pergi demi menjaga hati semua pihak. Demi memperbaiki perhubungan bagi yang perlu. Sesungguhnya, ikatan kekeluargaan itu lebih penting untuk dijaga. Perit atau pahit itu belakang cerita. Dikemudiankan. Perlu ditolak tepi. Perlu ditolak jauh. Banyak cerita, insan itu dan ini, disana dan disini, tapi hasilnya sama... Aku perlu berlalu pergi!
Aku masih mampu untuk bertenang diri. Bukan sekali aku alami benda macam ni. Bukan nak berkata hebat diri, tapi realiti yang aku mampu untuk berkata yang aku sebenarnya dah lali... Bukan tuli!
Berlaku tiap sesuatu adalah bersebab. Adakalanya ia berlaku tidak seperti yang kita impikan, ia berhijab. Adakalanya ia berlaku melampaui jangkauan fikiran normal kita sebagai manusia kerna Allah mengetahui apa yang kita tidak tahu akan sebab musabab.
Dia merencanakan jalan hidup kita untuk kebaikan diri kita. Baik mahupun buruk, itulah yang terbaik untuk kita, pada masa dan ketika.
Jelas, apa yang baik untuk kita hari ini, mungkin tak elok untuk kita dimasa depan. Tak mustahil juga apa yang tidak baik untuk kita hari ini, selamanya akan kekal begini? Hak Dia menentukan segalanya, itu dan ini. Mahu atau tidak, perlu juga untuk kita terima dan fahami. Wajib untuk redha dengan Qada' dan Qadar dari Ilahi.
Tidak akan ada pelangi tanpa hujan dan terik mentari...
SubhanAllah...
No comments:
Post a Comment