Jul 18, 2011

Umaira 022: Adeh...

[Semalam]


Astaghfirullah hal 'azim...


Sudah namanya budak, kanak-kanak, pastinya akal mereka cetek. Masih belum mampu membuat penilaian konkrit antara betul dan salah. Cuma terkadang mulut aku ni yang tak larat memberi nasihat hingga berbuih. Sampai satu tahap, terpaksa jugak untuk aku menghukum.


Iskandar tidur sambil menangis. Dan aku tak pujuk. Bagi aku, kesalahan dia serius. Bagi aku kesalahan terbahagi dua. Kesalahan biasa dan kesalahan yang melibatkan dosa. Moga dia faham hendaknya erti dosa.


Walau termenung aku seketika bila teringatkan umurnya yang belumpun mencecah 6 tahun. Perlukah untuk aku garang dan marah-marah dengan anak-anak sekecil ini? Aku tak mampu beri jawapan. Sesungguhnya keadaan dan matlamat kehidupan itu sendiri memaksa aku untuk bertindak sedemikian.


Dua tiga hari ni diorang nampak seronok sangat. Asyik gelak tak berhenti. Walaupun adakalanya aku inginkan suasana yang senyap, tapi aku tolak tepi perasaan tu sebab umur diorang yang macam sekarang ni memang masanya untuk mereka bermain. Lagu 'enjit semut' Kak Limah diulang-ulang diselangi gelak-tawa. Kemudian diorang guling-guling main geletek perut. Secara positifnya, tiada erti sunyi dalam hidup aku kini.


Cuma malam tadi, Lyana ikut aku bersolat Witir. Iskandar tak nak. Aku tak paksa, sebab ianya cuma solat sunat. Cuma Nabi pernah pesan untuk umatnya melakukan Witir, Dhuha dan puasa 3 hari dalam sebulan. Setakat ni, puasa sunat tu je yang asyik kantoi.


Mula sahaja solat, Iskandar terkinja-kinja. Jelas dia cuba mengganggu Lyana. Bersungguh dia ajak Lyana bergelak. Hilang khusyuk aku. Namun aku teruskan jugak sebab mata dah tak tertahan, mengantuk. Lyana ku lihat cuba bertahan. Alhamdulillah hingga habis Lyana mampu menahan diri dari ikut gelak.


Selesai salam, pantas tangan aku mencubit celahan peha Iskandar dan tidak aku lepaskan. Aku marah. Aku geram yang amat!


"Jangan ganggu orang bersolat. Berdosa!" Aku tengking. Dia menangis.


"Keluar!"


Sambil menangis, dia menuju ke bilik sebelah dan tidur.


Aku beristighfar berulang kali. Tiada apa yang aku mampu lakukan. Aku tak tahu tindakan yang macam mana lagi yang aku patut buat. Usaha aku, tidak pernah tinggal dalam sujud terakhir aku berdoa agar mendapat pasangan dan anak yang menenangkan.


Moga besar kelak mereka menjadi insan yang soleh dan sokehah...


[Hari ini]


Selesai Isyak, aku terus menunaikan solat Witir. Lyana dan Iskandar turut sama.


Berlainan dengan semalam, Lyana bersolat sambil tangan bergerak-gerak. Badan bergoyang-goyang. Macam orang menari pun ada. Aku tahu dia mengantuk, tapi nak jugak ikut aku. Sabar je la.


Iskandar, masa bersujud kepalanya terus ke sejadah. Terhenti tengah jalan. Pastu jarinya melukis ikut garisan pintu gerbang masjid yang terlukis di atas sejadah. Macam-macam
perangai.


Aku agak 'cool' malam ni. Mungkin aku tak rasa nak marah atas sebab keinginan diorang untul sama bersolat witir dengan aku.


Selesai solat, Iskandar bertanya,
"Kenapa Ayah cubit Iskandar semalam?" Adeh! Tak faham rupanyer ;P


Aku perjelaskan satu persatu salah tindakan dia semalam...


"Jom tidur...," termampu untuk aku hanyalah tersenyum. Budak, kot marah macamanapun bukan dia faham sangat.


Jadi, tak perlu la marah-marah sangat... Adeh...

No comments:

Post a Comment