Dec 30, 2011

Aku dan Dia 021: Masa Untuk Bertenang...

"Bertenanglah... Dan banyakkan bersabar serta nikmatilah kehidupan ini seadanya..."


Err... Memanglah mudah untuk aku berkata-kata. Tapi satu benda yang paling aku tak suka ialah hidup dalam persoalan. Macamana nak tenang dan nikmati kehidupan? Lebih-lebih lagi persoalan yang tiada jawapan. Persoalan yang tak mampu untuk aku mahupun orang lain rungkaikan.


Senang cerita, buat masa ni aku akan cuba eliminate segala benda yang menimbulkan persoalan dalam hidup aku. Mana yang boleh jawab, Alhamdulillah. Yang tiada jawapan, elok jangan fikir, jangan menyesakkan kepala. Sebab, aku perlu hindarkan diri dari segala unsur yang mampu membawa aku kepada keburukan serta kemudaratan. Berdosa!


Senang cerita, aku terlalu realistik.


Dalam masa yang sama aku perlu terus berusaha untuk menuju ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Kenapa? Demi anak-anak... Dan demi masa depan kami bertiga. Sebab, sebagai ketua keluarga, aku perlu sihat dan kuat untuk 'sama-sama' menjaga serta membesarkan mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. (Aku sebut 'sama-sama' sebab aku bersama bekas isteri serta suaminya kini saling bantu-membantu dalam menjaga Lyana dan Iskandar. Tanpa bantuan mereka, tanpa bantuan Mak, Papa dan adik-adik, aku tak mampu... Syukur Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa banyak pihak, segalanya menjadi lebih baik dan tenang. SubhanAllah... Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya...)


Berbalik kepada bab 'eliminate' tadi, betul ker cara dan tindakan aku tu?


Err... Mungkin dari segi ayat serta pengertiannya, nampak sedikit keterlaluan. Kasar dan keras. 'Eliminate', buang, pinggir, tak nak fikir... Tapi aku terpaksa beb!


Hidup kita ni telahpun diatur elok. Cumanya, bagaimana untuk kita maintainkan diri dijalan yang diredhai Allah. Banyak benda dan perkara buruk yang sebenarnya mampu untuk kita elak. Tak salah selagi mana tindakan untuk mengelak dari sebarang perkara buruk terhadap diri itu tidak melanggar syariat. (Bak kata Perodua, 'Preventive Action'... Hehe...) Cuma, perlu untuk aku beringat, agar segala tindak dan laku adalah tidak melukakan hati mana-mana insan. Andai ada, aku minta maaf. Dengan ikhlas... Dari lubuk hati aku paling dalam.


Buat masa ni, memang aku masih perlu bersendirian, tidak berpasangan. Walau hati aku kata lain, tapi ini hakikat yang perlu aku telan.


Meminjam kata-kata dari seorang teman... Katanya, "Kata-kata Umar Al-Khattab berkenaan dengan REDHA, 'Tidak menjadi masalah kepadaku dalam apa keadaan aku lihat paginya hari, sama ada ia membawa apa yang aku tidak suka atau apa yang aku suka, kerana aku tidak tahu manakah letaknya kebaikan itu'..."


Tambahku terhadap ayat tersebut, "kerana apa yang dihadirkan Allah untuk kita, itulah yang terbaik untuk diri kita walaupun kita tidak menyukainya... SubhanAllah..."


Dah dua minggu Lin bekerja di Perodua. Sebagai Along, aku dipertanggungjawabkan oleh Mak untuk menjaga adik perempuan aku yang sorang ni. Rutin hidup akupun kini sedikit berubah. Almaklum setiap hari dia kerja lebih masa dan setiap hari juga aku duduk menanti di perkarangan lobi Perodua. Kesian aku dijamah oleh mata-mata orang yang lalu lalang. Awww! :P haha...


Aku layankan aje. Sekarang aku makin mudah untuk menerima tiap perubahan mendadak dalam kehidupan, dengan syarat aku diberitahu awal akan setiap perkara untuk otak aku bersedia.


Migrainpun Alhamdulillah dah hilang lama. Kuncinya, berfikir dan bertindak atas kemampuan serta terus bertahajjud. Aku perlu untuk banyak bertenang dan bersabar dalam banyak hal. Proses pembentukan mentaliti memerlukan masa yang agak panjang. Yang mana secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit dan lama-kelamaan dapat membentuk kekuatan minda serta motivasi yang baik.


Cuma semenjak dua menjak ni ada ketidakbetulan hati yang berlaku. Aish... Susah aku nak kata. Salah tulis nanti, bila ramai orang baca dan tersalah tafsir akan jadi doa yang tidak baik. Erk!


Aku amati diri aku yang sekarang ni memanglah aku mengenali dan adakalanya tertarik dengan wanita. (Logik ler. Aku masih mengikut lumrah asal kejadian insan bernama lelaki... Err... Alhamdulillah). Tapi langkah serta tindakan aku untuk mengenali mereka bukan untuk mendekatkan diri, tetapi sebaliknya... Yang jelas, aku mengenali untuk mencari sebab, agar aku boleh pergi jauh. Apa ker hal cenggini gayanyer?


Erm... Moga Allah kuatkan hati aku serta perkuatkan niat aku untuk mendiri 'rumah yang bertangga'. (Kata Lin, "tangga dalam rumah! Bukan tangga luar rumah," macam apartment yang aku duduk sekarang ni. Kalau ku beli tangga lipat, letak dalam rumah, camne pulak? ;P hehe...)


Err... Sambung...


Bila hati dan niat dah kuat, InsyaAllah akan datang kekuatan dari dalam untuk aku berusaha lebih ke arah 'itu'... Err... Ke arah itu la... Faham-faham sendiri la. Buat segan aku je nak menyebutnya...


Aish!


Wallahu'alam...

Dec 25, 2011

Aku dan Dia 020: Menjemput Bidadari

Aku bersandar disofa sambil melihat tv yang tidak dipasang. Lamunan terlontar jauh entah ke mana.


Rintik hujan makin rancak menyembah bumi, menemani sunyi dan sepi.


"Alangkah baiknya andai berteman disaat ini?"


Erk! Apa yang aku cakap tadi?


Aish... Lamunan terhenti.


Cepat-cepat aku menggeleng, menginsafi.
"Astaghfirullah hal 'azim..."


Aku kembali bersandar. Pandanganku kosong.


Sedikit demi sedikit, mataku tertutup rapat.


"Ayah...," aku dikejutkan dari lena.


Aku melihat jam. Err... dah pukul 2.


"Jom solat," ujarku sambil menggosok mata.


Mereka pantas menurut kata. Sedikit perubahan atas peningkatan usia. Berkat doa dan usaha. "Alhamdulillah," syukurku pada yang Maha Esa.


Betapa besar nikmat ketenangan yang Allah beri saat ini. Hanya perlu untuk ku terus mendekatkan diri agar kehidupan aku diredhai dan diberkati. Aku juga kini kerap bermuhasabah diri agar tidak leka dan lalai dengan kenikmatan duniawi.


Apa yang aku miliki hanyalah pinjaman yang berupa amanah. Tiap satunya akan dipersoalkan diakhirat kelak. Mahu atau tidak, tiap langkah dan tindakan cuba untukku tepati kehendak Ilahi.


"Yang berkenan dan menenangkan... Mata dan hati...,"


Err...


Aish...


..............


Tajuk: Menjemput Bidadari
Penyanyi: Epicentrum


Bila yakin telah tiba
Teguh didalam jiwa
Kesabaran menjadi bunga

Sementara waktu berlalu
Penantian tak berarti sia-sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Zulaikha jalani hari
Sabar menanti Yusuf sang tambatan hati
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Segera kau ku jemput engkau bidadari
Bila tiba waktu ketemukan aku

Ya Ilahi Robbi

Keras ku mencari diri sepenuh hati

Teguhkan aku dilangkah ini
Dipencarian hakikat diri
Dan izinkan kujemput bidadari
Tuk bersama menuju Mu mengisi hari...

Kini yakin telah tiba
Teguh didalam jiwa
Kesabaran adalah permata

Dan waktu terus berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Adam dan Hawa
Turun ke bumi terpisah jarak waktu
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Bidadari telah menyentuh hati
Teguhkan nurani

Bidadari telah menyapa jiwa
Memberikan makna

Segera kau ku jemput engkau bidadari
Bila tiba waktu ketemukan aku

Ya Ilahi Robbi

Keras ku mencari diri sepenuh hati
Teguhkanlah ku dilangkah ini
Dipencarian hakikat diri

Dan izinkan kujemput bidadari
Tuk bersama menuju Mu, mengisi hari

Mengisi hari..


..............



Lama telah ku simpan lagu ini. Entah kenapa, pagi ini tergerak untuk aku amati katanya.


"SubhanAllah...," sesungguhnya hanya Allah yang tahu apa yang aku rasa dan alami.


"Alhamdulillah... Allahuakbar...," senyuman nipis terukir tanpa sedar.


"Akan tiba juga masanya. Bukankah kesabaran itu permata? Teruskan usaha untuk mencari dan mengenal diri, InsyaAllah akan dihadirkan seseorang untuk ku jemput nanti..."

Dec 22, 2011

Aku dan Dia 019: Cari Pengertian... Kejar Keredhaan (2) + assignment 'Iman, Taqwa & Zuhud'.

[Sambungan...] Berbalik kepada risalah didinding, aku ambil dan bawa balik. Majlis ilmu! Fuh! Kursus pembentukan 'Baitul Muslim'...


Entah kenapa, memang kursus sebegini yang aku cari. Selain mengisi masa yang banyak terluang dihujung minggu, ilmu yang disampaikan ku harap dapat membantu dalam menjadikan aku insan yang lebih faham dan bersedia untuk menghadapi cabaran berumah-tangga.


Jadi, apa yang aku perolehi dari kursus setengah hari tu?


Lepas sahaja daftar, aku dapat makan bihun goreng. Hehe... Bukan itu matlamat. Kalau perut kosongpun, tak best jugak, kan?


Aku dapat rangkumkan yang ada 2 perkara yang perlu dilakukan selepas kahwin. Pertama, kenali kelemahan. Kedua, perbaiki dengan menampung kelemahan tu.


Tidaklah semudah itu. Alam perkahwinan ni, proses mengenali pasangan itu adalah proses yang agak panjang. Tapi yang paling penting, sejauh mana kita mampu terima kekurangan itu. Dalam hal ni, memang perlu banyak bertolak-ansur dan saling bantu-membantu.


Komunikasi yang baik serta berkesan adalah perlu. Sentuhan yang baik dan berkesan juga amat diperlukan dalam kita berusaha untuk mengekalkan sesebuah rumah-tangga pada tahap yang baik sepanjang masa. Lebih-lebih lagi dizaman moden yang majoritinya si isteri bekerja.


Ini yang aku ingat sampai sekarang... Setiap keluarga perlu ada Sakinah. Bukan nama awek! Jangan ada pulak yang mula nak menambah ahli keluarga sebabkan statement aku ni. Sakinah yang aku maksudkan adalah ringkasan bagi faktor-faktor yang perlu ada dalam sesebuah rumahtangga.


Ringkasnya...


S olat
A manah
K asih-sayang
I man
N yah maksiat
A serti
H ikmah


Err... Boleh faham kot?


Rajin-rajin la cari dan join kursus 'keluarga Sakinah'... Urmmm, yang takde keluargapun takpe, join je... Pasti kita akan perolehi sesuatu sebab ilmunya baik untuk masa depan.


Urm... Aku ada bagi assignment untuk 'aku dan dia'. Tentang Iman, Taqwa dan Zuhud.


Cari punya cari, ini yang aku jumpa kat internet... Wallahu'alam... Tapi aku akan cari Ustaz untuk mendapatkan permahaman yang lebih...


MAKSUD IMAN

Dari segi bahasa: Percaya.

Dari segi istilah: Membenarkan di hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan anggota


MAKSUD TAQWA

Kalimah 'Taqwa' asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.


Menurut Syara', 'Taqwa' bererti : "Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta'ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat".


Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud:

"Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya". (Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha.)


Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa.

Lalu Ubai bertanya kepada Umar: "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri?

Jawab Umar: "Ya".

Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu
lakukan untuk melalui jalan tersebut?".

Jawab Umar: "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati".

Balas Ubai: "Itulah yang dikatakan taqwa".


Menurut Ibnu Abbas r.a.: "Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta'atiNya".


Menurut Hasan al-Basri: "Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka".


Berkata Abu Yazid al-Bustami : "Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah".


MAKSUD ZUHUD

Apabila disebut zuhud, orang terus memvisualkan keadaan yang miskin, susah, compang-camping. Ini adalah satu tanggapan yang salah. Hakikatnya zuhud itu konsepnya ialah manusia itu jiwanya mengawal dan bukannya dikawal oleh wang atau harta. Kerana itu masih ramai yang keliru apabila zuhud itu disebut dalam Islam tetapi pada masa yang sama orang Islam digesa mencari kekayaan dan kekuatan ekonomi.

Tidak salah mempunyai rumah yang besar, kereta yang mahal serta berkualiti serta harta yang melimpah ruah. Itu adalah yang terbaik apabila umat Islam mempunyai kuasa beli yang kuat untuk berbuat sesuatu. Bagaimanakah anda boleh membantu dan bersedekah sekiranya anda sendiri perlu dibantu dari segi ekonomi?

Tahukah anda Rasulullah menggunakan kuda perang yang terbaik dari baka Arab. Kalau kita bandingkan kuda itu

dengan kenderaan sekarang ia seperti tahap kereta Ferrari dan Bentley. Malah Rasulullah mengarahkan supaya baka tersebut dikawal supaya ia tidak keluar dari tanah arab. Ia adalah supaya teknologi baka itu dikuasai oleh orang Islam.


Macam dah ada jawapan. Cuma bab Zuhud ni aku masih kurang jelas. Sedikit yang aku faham, Zuhud ni... Err... Urm... Err...


Err...


Aish! Kena carik lagi la nampak gayanya. Tak berapa konfiden untuk aku explain apa yang aku faham.


Senang cerita, Wallahu'alam...

Dec 20, 2011

Aku dan Dia 019: Cari Pengertian... Kejar Keredhaan (1)

Kebelakangan ni, aku agak senak dengan terjahan rasa yang hadirnya tak disangka-sangka. Silap aku jugak, siapa suruh lari deras sangat?


Sebenarnya aku mampu tersenyum sendiri dengan apa yang berlaku. Cuma bila hati cuba menidakkan keindahan, cuba menolak kebaikan, cuba melarikan diri dari kenyataan, akibatnya jiwa senak tertekan dek perasaan...


"Tak perlu lari," nasihat Ainol. Walau ayat itu ringkas, namun aku fahami maksud tersirat.


Aku berdoa dihadirkan insan yang baik dan menenangkan. Baik untuk aku. Baik untuk anak-anak aku. Baik untuk kehidupan dan kesihatan aku. Yang paling penting, baik untuk agama aku. Agar rasa cinta kepada Allah dan Rasul makin kuat dan mendalam. "Bila kita benar mencintai Allah dan Rasul, akan dihadirkan insan yang soleh untuk mencintai kita...," sedikit ayat motivasi untuk diri dan agar aku tak berputus asa mengharapkan 'kehadiran' itu. Kehadiran berupa anugerah dari Allah... ;D ngeee...


Apa yang berlaku, penuh hikmah. Punya maksud yang tersirat untuk aku perhalusi dan fahami. Walaupun pada saat dan ketika ini, jelas aku masih gagal untuk perhalusi dan memahami hikmah yang tersembunyi itu.


Mungkin juga inilah masanya untuk aku belajar bersabar menanti. Sabar melihat dan sabar memerhati. Tiada apa perlu dikejar. Dengan senggang masa yang agak panjang, aku sepatutnya mampu untuk bersabar sehingga aku benar-benar bersedia untuk berkomitmen. Mungkin...


Sebab selama ni pun aku 'mencari' sebab aku rasa sunyi. Bukan itu matlamat berpasangan yang sebenarnyapun... Err... Kot la... Logik kot? Sebab kita cari bila sunyi. Bila tak sunyi? Hah! Pasangan adalah pelengkap kehidupan. Pelengkap iman. Itu yang sepatutnya. Sentiasa diperlukan tak kira masa dan keadaan. (Err... Kot la... Hehe...)


Apa yang perlu aku buat... "Terus perbaiki diri...," ayat itu sering aku sebut dan ulang. Berkali, dari dulu sampai sekarang. Tapi perlu ada matlamat. Target. Baik yang macamana? Err...


Ahad lalu, aku sertai satu kursus untuk membentuk keluarga bahagia.


Aku cerita serba sedikit tentang bagaimana aku tergerak untuk menghadiri kursus tu.


Lepas solat Isyak, aku tunaikan Ba'diah Isyak dan Witir satu rakaat. Sebelum balik, sampai dipintu surau, mata aku tertumpu pada salinan potostet bersaiz A4 yang diletakkan didalam kotak ditepi dinding. Ada gambar 'love' yang pudar. Banyak kali potostet. Aku biarkan ianya sepi disitu.


Keesokan subuh, selesai berjemaah, Haji Kamarudin membuat 'announcement'. Surau menjemput pasangan suami isteri serta bakal pengantin untuk menghadiri kursus setengah hari yang anjurkan oleh JKKK 3 buah kampung.


Menarik!


Mujur aku diberi peluang untuk mendengar pengumuman, dan mujur Haji Kamarudin buat pengumuman. Kalau tak, pastinya risalah fotostet itu terus aku biarkan sepi didinding.


Allah ingin membantu hambaNya, hadir dalam pelbagai bentuk dan cara. Tugas kita adalah untuk sentiasa mendekatkan diri dengan kebaikan dan menjauhkan diri dari kemaksiatan. Dekatkan diri dengan Surau dan Masjid, kenali orang baik-baik, dampingi Alim-Ulama', InsyaAllah sedikit sebanyak akan ada kebaikan untuk kita. Ini namanya usaha ke arah kebaikan. Belum baik lagi.


Ia berperingkat.


Peringkat pertama: Perlu paksaan dalam melawan nafsu. Paksa diri. Tolak tepi keinginan yang buruk. Macam kes aku, rasa yang wujud untuk berubah selepas aku ditimpa musibah berganda. Kemalangan motosikal... Tangan dan bahu aku patah. Hingga kini kedua-duanya masih berbesi. 10 bulan selepas itu aku berpisah dengan isteri. Dugaan demi dugaan baru membuatkan aku sedar. Kesedaran yang mula mendekatkan aku dengan Allah... Pernahkah aku terfikir untuk berubah dengan cara dipaksa begini? Tak pernah...


Peringkat kedua: Latih untuk jadikan ianya kebiasaan. Buat berkali-kali. Peringkat ini kita akan berhadapan dengan banyak konflik hati. Contohnya dalam bersedekah, berjemaah di Surau mahupun Masjid. Akan wujud pelbagai perasaan yang mampu membuatkan kita terhenti dari terus melakukan kebaikan. Namun usaha perlu diteruskan juga. Bila dah terbiasa, bila sudah terlatih, baru kita mampu ikhlas. Baru wujud rasa ikhlas. Kenapa aku buat ni? Kenapa aku buat itu? Semuanya kerana Allah...


Proses memperbaiki diri adalah suatu proses yang panjang dan memerlukan kita untuk konsisten.


Peringkat seterusnya? Aku tak tahu... Sebab aku belum menempuhi apa-apa yang baru. Aku masih mencari-cari erti sebenar 'Taqwa' itu sendiri. Beriman dan beramal, setahu aku hanyalah asas untuk bergelar muslim. Ketaqwaan adalah sesuatu yang pastinya berbeza sebab perkataan 'Taqwa' banyak disebut didalam Al-Quran seawal ayat kedua Surah Al-Baqarah.

"[1]
Alif Lamm Mimm.
[2]
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang
sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
[3]
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan
(mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang
Kami berikan kepada mereka.
[4]
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu (Wahai
Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan
(adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
[5]
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang
yang berjaya."


[Sambung...]

Dec 15, 2011

Aku dan Dia 018: Tenang Dalam Sabar

Bertenang dan terus bersabar...


Orang kata aku jenis yang kuat bersabar. Ada jugak yang melihat kesabaran itu sebagai kepuraan. Menahan amarah dan pelbagai rasa negatif sebenarnya hanya boleh dan perlu dilakukan dengan bersabar dan terus bersabar.


Dengan sabar, kita diberi ruang untuk berfikir. Diberi ruang untuk mengkaji, apa yang baik dan apa yang buruk. Tindakan apa yang ingin diambil, yang boleh dan yang tak boleh. Tiap kata yang akan keluar dari bibir juga akan ditapis elok, disusun rapi, diluah cantik.


Hikmah kesabaran membawa kepada ketenangan jiwa dan kebaikan buat diri serta seluruh alam. Semua ini semata-mata hanyalah untuk mencari keredhaan yang kita sulam dengan keikhlasan. Redha siapa? Bukan manusia, tapi Maha Pencipta; Allah S.W.T...


Penceritaan tentang pencarian... Umaira si penenang dan peneman hati. Niat itu baik, tapi keadaan seolah jauh dari mampu. Kenapa? Kenapa aku persoalkan kata 'jauh dari mampu'? Bagi aku mudah... Konsep berserah diri atas usaha, doa dan tawakal. Aku giat beristikharah. Berminggu. Berbulan. Pagi dan petang, siang dan malam. Jawapan yang sesuai, 'anugerah itu belum untukku'...


Segalanya kini aku rasakan telahpun menemui penghujung jalan hikayat cerita. Benar dengan yakin bahawa tiada lagi cerita antara aku dan dia.


Mendung langit berarak gelap seperti sayunya dihati dan gundah rasa yang menyapa dijiwa. Wajah itu ku renung berkali sebelum aku berlalu pergi. Leka termangu seketika. Entah apalah tarikan buat hatiku pernah bertaut lama, terpukau rasa, mungkinkah dek kehendak dan dorongan nafsu atas sesuatu tanpa pernah aku sedar? Atau buat-buat tak sedar?


Perlu untuk pergi demi menjaga hati semua pihak. Demi memperbaiki perhubungan bagi yang perlu. Sesungguhnya, ikatan kekeluargaan itu lebih penting untuk dijaga. Perit atau pahit itu belakang cerita. Dikemudiankan. Perlu ditolak tepi. Perlu ditolak jauh. Banyak cerita, insan itu dan ini, disana dan disini, tapi hasilnya sama... Aku perlu berlalu pergi!


Aku masih mampu untuk bertenang diri. Bukan sekali aku alami benda macam ni. Bukan nak berkata hebat diri, tapi realiti yang aku mampu untuk berkata yang aku sebenarnya dah lali... Bukan tuli!


Berlaku tiap sesuatu adalah bersebab. Adakalanya ia berlaku tidak seperti yang kita impikan, ia berhijab. Adakalanya ia berlaku melampaui jangkauan fikiran normal kita sebagai manusia kerna Allah mengetahui apa yang kita tidak tahu akan sebab musabab.


Dia merencanakan jalan hidup kita untuk kebaikan diri kita. Baik mahupun buruk, itulah yang terbaik untuk kita, pada masa dan ketika.


Jelas, apa yang baik untuk kita hari ini, mungkin tak elok untuk kita dimasa depan. Tak mustahil juga apa yang tidak baik untuk kita hari ini, selamanya akan kekal begini? Hak Dia menentukan segalanya, itu dan ini. Mahu atau tidak, perlu juga untuk kita terima dan fahami. Wajib untuk redha dengan Qada' dan Qadar dari Ilahi.


Tidak akan ada pelangi tanpa hujan dan terik mentari...


SubhanAllah...

Dec 14, 2011

METAL KEKARATAN 009

"Jodoh adalah sesuatu yang dimulakan dengan pertemuan dan diakhiri perpisahan... Urm...," aku mengomel sendiri sambil memerhati
langit yang kian mendung diluar.


"Betul ker camtu?"


Erk! Aku menoleh. Terkejut!
Aik, siapa budak ni?


"Err... entahlah. Saya main cakap jer...," aku mengangkat kening, mencebik bibir.


Pelik jugak... Berani budak ni main tegur je orang yang dia tak kenal.


Budak tu sengih dari tadi sambil memandang aku. Rimas pulak aku rasa.


"Tak sekolah ker?" Soalku.


"Abang tak keje ker?" Soalan dibalas soalan. Aish!


"Cuti. Saja nak lapangkan fikiran," balasku sambil asyik melihat baby yang sedang asyik menggomol tangan anak patung.


"Kat tempat crowded macam ni?"


Aku tak membalas. Mata aku merenung jauh ke luar. Dulu tempat ini menjadi rutin kebiasaan untuk aku menemankan dia menenangkan fikiran.


Pernah aku ingin bertanya, kenapa tempat yang penuh, bising dan ramai orang macam ni yang dia pilih. Bukan ker lebih elok pergi melihat pandangan yang menghijau? Tapi aku diamkan. Bertanya bermaksud aku menemaninya kerana terpaksa.


Beberapa hari sebelum kejadian tu, dia menjelaskan segalanya.


"Mesti awak rasa pelik, kan?"


"Pelik?"


"Yelah... Orang lain bila nak tenangkan fikiran mereka akan pergi pantai, gi taman, gi masjid, baca Al-Quran...," dia memandang aku sambil tersenyum. Matanya bersinar. Err... Contact lense...


"Tapi saya pilih shopping kompleks yang 'crowded' macam ni," tambahnya lagi.


"Err... Pernah gak," sedikit mengangguk.


"Awak tak kisah ker?" Soalan memerangkap. Aku perhati, adakalanya orang perempuan suka bertanya soalan yang sebenarnya lebih elok tak ditanya. Salah jawab, merajuk. Kalau berbohong, aku yang berdosa. Dan aku lebih rela dia merajuk dari aku menanggung dosa menipu.


"Boleh tak kalau tak jawab soalan tu?" Erk! Jawapan yang salah. Dan sebenarnya jawapan yang macam ni aku menimbulkan banyak lagi persoalan lain yang memang kita punya jawapan negatif.


Sebenarnya, beruntung dan bersyukur andai kita punya pasangan yang sering cuba menjaga hati dan perasaan kita. Dia tanya kita ok ker? Seronok? Suka? Semua tu, pada hakikatnya dia memerlukan dorongan moral dengan jawapan yang positif, jawapan yang menunjukkan kita kita sentiasa ikhlas bersamanya.


"Yang penting, saya dapat bersama awak," pantas aku alas dengan ayat manis. Memang jawapan ni bermaksud negatif. Tapi ia berlapik dan memujuk. Menunjukkan rasa rendah diri, yang mengatakan kita memerlukan mereka disisi.


Dia terdiam seketika.


"Terima kasih yer," dia membalas. Fuh! Nasib baik...


"Sama-sama kasih..."


"Tempat macam ni menjauhkan saya dari kemurungan. Orang yang sedang bermasalah, takkan datang tempat macam ni. Majoritinya. Bila kita tengok reaksi dan ragam orang yang positif, kita akan jadi positif...," beria dia merungkai kata.


"Contoh mudah, kita akan mampu tersenyum bila tengok orang senyum. Kita mampu tergelak bila tengok orang gelak. So, tak perlulah asyik memandang dinding, nanti muka kitapun jadi macam dinding..."


Erk! Mengata aku la tu...


Rupanya selama ni, dia yang menemani aku disini. Rupanya, selama ni hati aku yang cuba dia rawati.


SubhanAllah...


[sambung]

Dec 11, 2011

Aku dan Dia 016: Gerhana Bulan 10-Dec-2011

Aku merenung ke langit.


"Gerhana bulan? Mana bulan?" Erk! Ditutup awan, mungkin. Main nyorok-nyorok la pulak! Hehe...


Awan merah menutupi angkasa. Seluas langit. Memang sejak petang tadi cuaca agak mendung.


"Nak hujan la kot?" Berkata ikut logik akal yang selalunya apa yang Allah hadirkan itu tak mampu untuk kita fikirkan. Contoh paling mudah, banjir. Hujan dengan kadar biasa, seperti selalu, sistem perparitan yang sama, tapi boleh jugak berlaku banjir kilat dengan tiba-tiba. Siapa kita nak menidakkan kekuasaan Allah? Allah kata jadi, maka jadilah ia. SubhanAllah...


Ajjax beritahu jam 8.43 malam ni mulanya berlaku fenomena Gerhana Bulan ni. Beberapa hari lalu, sempat aku tertengok gambar ilustrasi disurat khabar yang menunjukkan kedudukan bulan yang dilindungi bumi daripada terkena cahaya matahari. Kesannya, bulan akan kelihatan oren kemerah-merahan. Uh... Tapi banyak awan la pulak...


"Solat sunat gerhana...?" Err... mana pulak buku nih?


Setiba dirumah, aku mencapai tuala untuk ke tandas. Aku terdengar bunyi pelik kat luar. Err... Hujan lebat! Takde rintik-renyai, tapi lebat terus... Fuh!


"Camne ek nak solat sunat gerhana?" Aku menghantar sms. Sejak minggu lepas, aku kian kerap berhubung dengannya. Susah aku nak cakap mahupun cerita soal hati. Tapi, yang pasti, aku kekal selesa. Dan kali ni baru aku sedari, semua masalah aku dengannya sebelum ni adalah sebab aku. Hati aku. Perasaan aku.


Dalam beberapa minggu ni, aku kembali mempergiatkan beristikharah, berdoa... Aku tak mampu untuk berhenti memikirkan dan mencari pasangan hidup. Cumanya, faktor keyakinan diri menjadi punca terbantut segala perancangan.


Bukan teruk sangatpun masalah ekonomi aku ni. Cuma kena sediakan mental kembali kuat untuk menghadapi tambahan tanggungan dan komitmen. Err... InsyaAllah boleh. Tapi tak perlu tergesa...


Sms aku dibalas...

"Solat Khusuful Qamar (Gerhana Bulan): 1-Usollii sunnata khusuufil qomar rak'ataini lillaahi ta'aalaa. 2-Al-Fatihah, surah, ruku', i'tidal. 3-Letak tangan di perut, Al-Fatihah, surah, ruku', i'tidal. 4-Sujud, duduk antara 2 sujud, sujud. 5-Naik rakaat kedua, buat sepertimana no. (2) dan no. (3). Lepas salam, doa. Jika brjemaah, selepas solat ada khutbah gerhana. Jika seorg sahaja, tidak perlu. Kesimpulan: 2 rakaat, setiap rakaat, 2 Al-Fatihah, 2 ruku', 2 i'tidal," mantap! Jelas dan siap kesimpulan lagi tu... Perbezaan orang yang belajar agama... Dah boleh jadi Ustazah dah kot? Hehe...


Aku kongsikan sms itu pada teman-teman rapat. Bila lagi nak habiskan bonus sms 'hot ticket' aku nih?


Dalam jam 10 malam, hujan berhenti.


Indahnya bulan dipagari bintang. Melihat langit yang sama walau dimana kita berada...


Terdetik untuk aku membuat panggilan telefon. Hehe...


Walaupun macam gaya orang dulu-dulu, tapi seronok bila kita duduk jauh-jauh tapi bila memandang ke langit, kita mampu berkongsi keindahan yang sama. Cantik benar bulan malam ni. Di hujung belah kanan bulan, kelihatan ia mulai terkena cahaya matahari.


"Awak dah tengok langit? Cantik bulan malam ni..."


"Dah, tadi...," err...

Dec 10, 2011

Aku dan Dia 015: Aku Perlukan BantuanNya

Istikharah perlu diteruskan demi mencari redhaNya. Antara keperluan dan kehendak, antara nafsu dan redha Allah.


Sungguh, aku perlukan bantuanNya...


Dekatkanlah aku dengan yang baik untuk aku, untuk kehidupan aku, untuk agama aku. Sesungguhnya aku tak tahu apa yang Engkau tahu...


Sempat juga aku bergegas untuk bersolat Isyak berjemaah.


"Em... Jom solat"


Sms itu aku balas, "Tengah makan ;P Jap ek."


Aku lihat jam. Baru jam 8.10...


Sejurus kemudian, kedengaran azan berkumandang.


Aish! Baru aku sedar yang jam didapur ni baterinya dah lemah. Tergesa aku ke bilik air menggosok gigi dan bersiap untuk ke surau.


Selesai Ba'diah Isyak dan Witir, baru aku balik.


Aku menyorotkan pandangan jauh ke langit. Bulan hampir penuh. Cerah dan indah bercahaya. SubhanAllah...


Aku hirup angin malam yang segar. Aku panjatkan kesyukuran atas segala yang aku ada. Alhamdulillah...


Jalan hidup aku hari ini agak tenang. Keributan hidup yang aku alami bertahun, kini kian elok dan damai.


Unggas merata, burung asyik bermain dan berkicau diangkasa.


Bunga-bunga itu mekar ditaman. Pohon kian rendang mampu untuk meredupi terik siang.


(Dua perenggan pendek diatas: Cuma bayangkan, tengah aku menginsafi kedamaian, suasana gelap malam yang sunyi tiba-tiba berubah menjadi siang pagi nan indah. Dingin bercahaya. Macam dalam filem... Ada pelangi, burung berkicau, padang rumput hijau berbukit, bunga indah merata, harum mewangi... Hehe... Mengarut! Janji tak mencarut udah...)


Sambung...


Hidup walau masih tidak lengkap disana-sini, namun dekatnya aku kini dengan Allah, aku rasakan apa yang aku ada, apa yang aku miliki sudah cukup sangat untuk aku.


Hanya Dia yang tahu apa yang baik untuk aku hari ini. Dan hanya Dia jua yang tahu apa yang baik untuk aku hari esok. Doa aku tetap sama. Aku kekal memohon agar dikurniakan pasangan dan anak-anak yang menenangkan. Dan aku juga memohon agar aku tidak lagi dan tidak akan menzalimi diri.


Bertindaknya aku kini pada tahap dan mampu diri. Mensyukuri nikmat yang diberi. Menjauhi sesuatu diluar mampu. Sungguh... Aku bersyukur atas nikmatMu ya Allah... Alhamdulillah...

Dec 3, 2011

Aku dan Dia 014: Menagih Kemaafan...

Sunyi... Dan sepi. Bunyi detik jam bergerak menghiasi subuh. Sayup dihujung telinga kedengaran ayat suci Al-Quran dibacakan. Dari corong speaker masjid.


Pagi ini, Lyana dan Iskandar perlu bersiap awal. Mommy mereka kerinduan. Moga mudah hendaknya diorang bangun dan mandi.


Begitu pantas hari berlalu. Masa tak pernah cemburu meninggalkan kita. Aku dapat rasakan peningkatan umur yang membentuk kematangan. Lebih mampu untuk aku banyak bersabar dan bertenang dalam banyak hal.


Malam tadi, setiba aku dirumah, Lyana sedang menangis.


"Abang tengok bilik tu. Lyana mengamuk sebab tak nak solat," ujar Papa. Aku salam Papa. Aku usap kepala Lyana. Aku ke dapur, salam Mak.


Aku tahu puncanya. Memang adakalanya Lyana memang macam ni. Akupun terkadang agak buntu. Tapi aku terus memanjatkan doa agar anak-anak aku dilembutkan hati, agar mudah untuk bersolat. Agar mereka mampu menjadi anak yang soleh dan solehah suatu hari nanti. Agar mereka mampu menjadi ibu-bapa yang baik dan sentiasa patuh dengan perintah Allah. Dalam masa yang sama dapat menjaga perhubungan sesama manusia.


Sian kat Lin. Puncanya adalah permintaan aku untuk Lin ajak Lyana solat bersama. Jadi, mungkin sebab Lin takut aku marah, Lin akan cuba sedaya-upaya untuk ajak Lyana bersolat. Aku pulak lupa nak ajar caranya. Err... Salah aku jugak la... Lyana, untuk melayan karenahnya perlu banyak berlembut.
Perlu belaian dan pujukan.


Bagi aku, seawal umur Lyana ni, pendidikan lebih kepada pandang dan dengar. Sebab ini masa untuk mereka bermain. Setiap perkara perlu ada tarikan. Suasana solat yang menarik perhatian masih gagal untuk aku wujudkan. Jelas aku perlukan 'seseorang' untuk membantu. Cuma yang termampu, aku tunjuk contoh teladan yang baik. Solat di awal waktu dan mengajak mereka bersolat dengan cara lembut.


Hasilnya memang tak konsisten. Atau lebih tepat lagi, untuk peringkat seawal ni, selalunya aku gagal. Tapi sekurang-kurangnya mereka nampak aku bersolat di awal waktu dan mereka sentiasa mendengar pelawaan aku untuk bersolat bersama.


6.45 pagi, aku pulang dari surau. Sebelum Subuh tadi, sempat juga aku bersolat hajat untuk melembutkan hati aku dan melembutkan hati orang-orang sekeliling aku. Sempat juga aku berdoa agar dikurniakan pasangan serta anak-anak yang menenangkan hati. Bukankah doa antara azan dan qamat itu mustajab? Aku cuba apa yang termampu.


"Is, jom solat...," ujar ku sambil membentang sejadah. Lyana masih dipembaringan. Lampu terbuka terang. Harap Lyana dengar dan lihat Iskandar bersolat.


"Alaaa... Nak solat kat surau...,"
rengek Is sambil membetulkan songkok.


"Pukul berapa dah ni Is?" Aku tergelak kecil dengan karenah dan kesungguhan Iskandar.


Melihat kepada keadaan, setiap perkara dan kejadian, ianya berupa ketentuan yang cantik tersusun dari Allah. Cumanya, kita perlu banyak memikirkan semua perkara dalam bentuk yang positif, bersangka-baik, dan bersungguh dalam mendapatkan redha Allah dalam setiap perbuatan laku dan kata. Bagaimana? Ikhlas... Sentiasa ikhlas lilla hi ta'ala...


Dan sesungguhnya keikhlasan itu perlu latihan. Dan kenapa perlu latihan? Sebab utama latihan itu bagi diri aku adalah untuk mewujudkan rasa rendah diri yang konsisten. Rasa rendah diri... Yup... Rasa rendah diri yang sebenarnya agak sukar untuk kita kekalkan dek hasutan syaitan yang menyesatkan...


SubhanAllah...


Alhamdulillah...


La ila haillAllah...


Allah hu akbar...


"Awak... Saya minta maaf atas segala kesalahan dan kesilapan saya yang lalu. Maafkan saya. Hidup perlu diteruskan dan teruskanlah berusaha untuk menggapai ketenangan dan kebahagiaan yang diimpikan. Allah menguji kita sebab Dia sayang pada kita..."

Dec 2, 2011

Aku dan Dia 013: Is dah sembuh ;)

Alhamdulillah, badan Is tak panas lagi lewat malam tadi. Moga kekal hendaknya. Sungguh aku lega sangat. Mujur cepat berubat sebelum melarat.


Keaktifannya masih ditahap macam biasa walaupun demam. Cuma sesekali dia mengadu sakit kepala. Itupun, lepas gi klinik dilewat petang, sempat juga si Is 'menokak' Lyana sebab berebut pintu kereta. Dah, menangis si kakak. Si Is kata Lyana tumbuk dia. Aish! Cam terbalik... Patutnya anak jantan menumbuk, perempuan menggigit. Pandai pulak Ayahnya mengajar benda bukan-bukan. Err...


Masing-masing tak nak mengalah. Masing-masing nak duduk depan. Tunggulah Ayah beli Alphard, nanti semua pakat berebut nak duduk belakang pulak.


Hari ni, Lin dan Mak tolong jaga mereka. Aku kena kerja. Baki cuti tahunpun tak berapa nak ada.


Senja semalam aku bawak Is ke Klinik Aniza. Memang agak jauh dari Klang. Tapi klinik ni aku selesa sebab ubatnya ubat mahal dan elok. Rasi dengan Lyana dan Iskandar. Cumanya, sehari dua ni mereka berdua banyak bergumpal dan bergaduh. Depan doktorpun buat perangai. Nasib baik kepala aku ok sket. Takde nak pening macam dulu. Alhamdulillah.


Jam 1.30 pagi, baru Mak sampai dari Klang. Alhamdulillah, aku bersyukur sangat dengan kehadiran keluarga banyak sangat membantu. Sebab itu aku utamakan sangat diorang. Aku dah tak macam dulu. Sekarang, kalau Mak mintak tolong apa-apa, pergi kedai dan sebagainya, aku tak cakap banyak walau macamanapun keadaan aku masa tu. Masa dan usia mematangkan diri. Bila lagi nak berbakti pada diorang. Mak dah banyak bersedih dengan kisah hidup aku. Dengan cara hidup aku sebelum ni yang penuh kemurungan dan banyak mengasingkan diri dari orang. Setidaknya, ada perubahan positif walau tak menyeluruh.


Aish...


Pagi ini aku 'recall email'... "Message recall failure." Bermakna email aku telah dibaca. Kalau takde status, maknanya email aku telah di'delete'.


Aku sebenarnya dah tak tahu nak buat apa dalam mencari pasangan hidup. Aku serah bulat-bulat pada takdir. Banyakkan berdoa dan terus beristikharah... ;)

Dec 1, 2011

Aku dan Dia 012: Iskandar comel dan sihat!

"Ya Allah, buangkanlah sifat takabbur andai ianya wujud didalam diriku selama ini... Astaghfirullah hal 'azim..."


Kuliah hadis Ustaz Zahazan subuh tadi, membuatkan aku seakan terkedu sejenak. Aku teringat akan kata-kata aku yang berbaur takabbur dalam menggambarkan ketidakpuasan hati aku, walaupun aku sebenarnya sekadar bergurau, sekadar berseloroh. Astaghfirullah hal 'azim...


Adakalanya, kita tak sedar yang dalam perlakuan kita, dalam percakapan kita yang kita sebenarnya sedang melakukan dosa. Ada orang kata, "tak tahu tak apa..." Tapi selama mana kita ingin hidup dalam kejahilan. Na'uzubillah... Aku perlu lebih berhati-hati...


Tahun baru, azam juga perlu baru. Perlu untuk aku terus belajar. Perlu untuk aku terus perbaiki kekurangan diri. Senggang masa yang terluang sempena cuti sekolah ni sepatutnya memberi kesempatan untuk aku menuntut ilmu.


"Lu buatlah apa yang patut. Kubur asing-asing..."


"Err... Bukan kubur lu sebelah kubur gua ker? Bising der dengar lu menangis kena balun...," haha... Adakala ayat kena tepat. Bukan tak berhikmah, tapi sesetengah orang perlu sesuatu untuk menganjakkan fikiran untuk terus memikirkan kekuasaan Allah. Itu belum kes dikebumikan didalam satu liang lahad. Ada saja alasan 'puak-puak ni'... Moga Allah lembutkan hati mereka, beri hidayah agar mereka kembali ke jalan yang benar, InsyaAllah...


Hari ni hari Rabu. Cuaca agak baik. Cuma badan aku rasa lain macam. Mungkin kesan keracunan makanan kelmarin masih ada? Saja aku taknak pergi klinik, kononnya 'under control'. Tapi Alhamdulillah, kesan sos pasta yang berkulat tu takde la teruk sangat. Bak kata aku tadi, 'under control'... Hehe... Tapi badan yang menanggung, kena banyakkan bersabar je la...


Agenda hari ni? Err... Kena cerita kronologinya dulu...


Beberapa hari ni, aku banyak memuhasabah diri.


Terus aku memikirkan antara sesuatu yang baik dengan kemungkinan buruk. Antara sesuatu yang sebenar aku perlukan dengan sesuatu yang berupa kehendak. Senang cerita, bab jodoh...


Kedua-duanya tak salah andai kita punya masa dan peluang. Bagi kes aku, masa dan peluang itu sebenarnya terbuka luas. Hujah; Sebab aku bukanlah lelaki bujang. Dan 'family'pun tak bising suruh aku kahwin cepat. Bab zuriat, aku dah ada Lyana dan Iskandar. Jadi bab jodoh ni, andai benar ada 'kurniaan berupa anugerah dari Allah', InsyaAllah aku akan beri sepenuh komitmen. Aku sebut 'kurniaan berupa anugerah' sebab hati aku ni susah untuk ditembusi dalam. Kulit luarnya mudah terusik, mudah terasa seronok. Tapi dalam banyak cerita, usikan dan keseronokan itu akan hilang bila kulit hati aku tu dah kebas. Dalam ertikata lain, aku perlu perhalusi hati untuk mengetahui bahawa 'diakah orangnya?' dan mengawal kata agar andai 'bukan dia orangnya', tiada kata melebihi rasa yang terungkap. Mengecewakan orang adalah satu dosa dan kesalahan. Merasa kecewa pula adalah asam garam dan risiko dalam proses mencari jodoh ni yang memerlukan aku untuk sentiasa bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan.


Hidup takkan selalunya indah. Sesungguhnya, Allah Maha mengetahui akan apa yang terbaik untuk aku.


Aku dah mencuba. Tapi mungkin belum masanya.


Urm...


Bab 'membuang rasa sayang' ni pun satu hal jugak. Lagi aku mengelak, lagi aku tak nak fikir, lagi kerap aku terserempak, lagi kerap aku berselisih. Sedikit dugaan dan ujian yang perlu untuk aku hadapi. Secara keseluruhannya, aku berjaya dalam menghadapi semua ni tanpa masalah Alhamdulillah...


Kali ini aku benar nekad. Aku memang cuba sedaya upaya untuk mengosongkan hati. Memang aku memaksa diri. Memaksa dalam membuang 'rasa' yang sudah berakar. Dan Hasilnya agak memberangsangkan. Tak perlu untuk aku terlalu memikirkan perasaan orang sangat, bukan diorang amik kisahpun apa yang aku rasa. Dihujung cerita, aku jugak yang menanggung sengsara.


Hidup perlu terus. 'Umaira si penenang hati' akan hadir jua suatu hari nanti. Bila masa dan ketikanya, itu yang aku nanti. SubhanAllah...


Jam 2 pagi aku dikejutkan.


"Is kata dia pening. Badannya panas," ujar Mak sambil aku masih terkial membuka mata.


Aku cari ubat demam, err... Tak cukup. Setahu aku kalau demam tak boleh 'operate'.


Lepas aku suapkan ubat yang sekangkang kera tu, aku keluar ke 7-E. Cool Fever, Air cap badak dan ubat demam budak aku sambar.

"Semua, 24 inggit 70 sen," kata cashier. Aku nampak kat skrin.

"Ok, saya beli," akad...


Aku dah perasan masa dalam perjalanan balik Klang tadi tangannya agak bahang. Aku ingatkan tangan aku yang sejuk. Aku lupa pulak yang sekarang ni musim demam. Ditambah dengan emosi aku pulak kurang stabil bila mendapat email yang membuatkan aku sedikit kecewa. Aku kata pada Ainol aku ok. Tapi aku tak sangka pulak ada rasa 'tak ok' yang sebenarnya wujud jauh kat dalam tu. Adeh... Sambung nanti... Nak setelkan demam Iskandar ni dahulu...


Is, cepat sembuh yer...

Nov 28, 2011

Aku dan Dia 011: Kisah Encik Razak Hensem dan Encik Dzul Berambut

Alhamdulillah... Hari ini aku betul benar berjaya untuk 'membuang' segalanya jauh dari hati. Apa yang aku buang? Erm, aku buang perasaan.


Aku padam segala yang berkaitan. Aku kawal perasaan. Aku jaga mata. Aku pelihara hati. Terzahir segalanya melalui tindakan.


Secara rasminya, aku akan mula merencana hidup tanpa cinta pada wanita. Sampai bila? Itu percaturan Allah. Aku tak mengelak dan aku tak lari. Aku tetap disini. Kerja, makan, tidur, bermain, semua dan segalanya disini. Tak ke mana. Jadi, tak perlulah sebut aku bukan umat Nabi Muhammad sebab taknak kahwin. Bukan taknak, tapi masa-ketika-keadaan-calon belum memungkinkan benda tu berlaku.


Memilih?


Err... Katakan kita nak pergi beli kereta, duit merupakan hak kita. Kereta adalah perumpamaan untuk calon isteri. Kita beli kereta untuk apa? Keperluan atau kehendak? Ok... Sebagai contoh, kita reka satu cerita. Encik Razak Hensem ingin membeli kereta. Dia ada 50 ribu. Tujuan dia membeli sebab dia sudah berpindah tempat kerja. Jauh sedikit dan banyak lori. Jadi, tak sesuai untuk menunggang motosikal. Dalam bab ni, sebab utama adalah kerana keperluan. Tapi Encik Razak Hensem inginkan kereta baru yang selesa dan cantik. Sebab kedua adalah kehendak. Nak dijadikan cerita, sampai di 'show room', dia membelek beberapa jenis kereta. Kereta model B menarik minatnya. Harga dan rekabentuk kereta tersebut menepati kemampuan dan kehendak dia.


"Maaf Encik, kereta ni takde stok. 2 bulan lagi baru ada. Sebab Thailand banjir, ada bahagian kereta ini yang tak memungkinkan proses pengeluaran dijalankan"


Sedikit kecewa rasa dihati Encik Razak Hensem. Nak naik motor selama dua bulan, tak larat dan bahaya.


"Apa kata Encik beli model A ni. Harganya murah sikit, tapi lebih cantik dari yang tadi," tambah jurujual.


Encik Razak perlukan sangat sebuah kereta. Jadi, dia ambil keputusan untuk beli model A. Walau tak memenuhi kehendaknya, tapi kereta ini lebih jimat, murah dan lebih menarik. Cuma tak berkenan dihati.


Selepas 3 tahun, Encik Razak menjual kereta model A dan membeli kereta model B keluaran terbaru. Cerita sedikit berpusing, tapi faham-fahamkan sendiri la...


Tapi dalam bab aku, aku teringin nak beli kereta. Err... Reka satu cerita la. Hah... Aku guna nama Encik Dzul Berambut. Encik Dzul Berambut teringin nak beli kereta. Tapi, sekadar untuk beriadah dan sekali-sekala balik kampung nenek. Rumahnya dengan tempat keje, kalau berjalan kaki mengambil masa 3 minit. Untuk ke rumah Maknya, 30 saat je sebab sebelah rumah. Kalau ke bandar, dia akan ambil bas sahaja sebab biasanya dia akan ke bandar 2 kali sebulan. Sekali untuk bayar duit rumah. Sekali untuk pergi makan KFC ditengah bulan.


So, dalam keadaan ni, kereta hanyalah kehendak. Dia masih mampu untuk berjalan kaki ke mana-mana...


Encik Dzul Berambut ni pun meminati kereta model B. Kena tunggu dua bulan. Jadi dia tunggu la dua bulan.


Erm, leh faham?


Habis dah kot cerita aku tu...


Nak bestkan lagi cerita rekaan aku tu, aku sambung sket lagi...


Dua bulan lepas tu, sehari sebelum dia ingin membeli kereta model B, dia menerima panggilan, "Encik menang kereta model B!"


Akhirnya Encik Dzul Berambut pulang ke rumah dengan bergaya dengan kereta model B hasil peraduan gores dan menang... -TAMAT-


Tihihi...

Nov 27, 2011

Aku dan Dia 009: Salam Maal Hijrah 1433

1 Muharram 1433... Aku tidur agak lewat. Lebih kurang jam 1 pagi baru aku benar lelap. Apa yang aku menungkan? Entahlah... Yang pasti, sehari-dua ni aku agak sunyi. Mujur siang hari aku ada banyak aktiviti. Pergi pasar. Pergi kedai hardware. Pergi rumah orang kahwin. Semua tu aktiviti dalam beribadah. Beribadah maksud aku adalah berbakti kepada kedua ibu-bapa.


Bab sunyi, segala kemungkinan untuk mendapat pasangan tidak lagi ku fikirkan sangat kini. Aku tahu agak payah untuk aku mencari yang mampu aku terima sepenuh hati. Punya asas agama yang baik, mampu terima aku, mampu terima anak-anak aku, mampu terima keluarga aku, bekerja dekat dengan rumah aku... Mahu atau tidak, hakikat perlu aku telan yang pencarian kini semakin sukar.


Mata aku mampu dikaburkan dengan kecantikan, tetapi hati, rasional serta sifat realistik aku amat sukar untuk diyakinkan.


"Aku nak bangun tahajjud...," aku berniat sebelum tidur. Dalam pada itu, aku teringin untuk menghadiri kuliah Subuh di Masjid Nurul Iman Kampung Delek. Sempat aku belek risalah Sambutan Maal Hijrah daerah Klang sebelum membaca doa akhir tahun senja tadi. Ustaz Don yang akan beri ceramah.


Sebelum ini, aku tak kenalpun Ustaz muda ini. Entah macamana beberapa hari lepas aku tergerak untuk menonton tv dan aku buka tv Al-Hijrah. Ada seorang ustaz sedang mengajar cara mewudhu'kan orang yang lumpuh. Cara penyampaiannya segar dan bersahaja.


Tepat jam 4.44 penggera handphone berbunyi. Alhamdulillah aku bangun dengan rasa cukup segar.


Aku bingkas bangun. Tuala ku capai. Rutin biasa, aku akan cari sedikit air masak. Kumur dan telan.


Selesai mandi, sempat untuk aku bertahajjud dua rakaat.


Sempat nak ke masjid ni. Wajah Ustaz Don mula terbayang. Dengan berniat, aku dapat rasai akan dorongan rasa itu akan membuatkan kita jadi kuat. Sedar atau tidak, tubuh badan juga beri reaksi yang sama.


"5.30...," masa untuk gerak. Aku tanya Papa semalam. Papa kata Masjid Nurul Iman letaknya di Kampung Delek Baru. Dekat jugak ler dengan tempat memancing yang rakan-rakan VID pergi hari tu.


Aku letak kereta diluar masjid. Dari luar aku lihat banyak khemah didalam pagar masjid. Malas nak parking kat dalam, nanti susah nak keluar.


Imam sedang membawa makmum berqiamullail. Tak habis lagi...


Ramai budak-budak. "Dari sekolah tahfiz mungkin?" Kata hati kecil.


Aku, Tahiyyatul masjid...


Mereka, witir...


Azan mula berkumandang. Aku rasa agak segar Subuh ini. Cuaca agak sejuk diluar. Ku perhati, orang makin ramai.


Selesai solat, Ustaz Osman yang membawa jemaah berqiamullail tadi, membaca doa. Sedap suaranya. Indah intonasinya... Setiap butir meruntun kalbu. Meresap...


Kehadiran Ustaz Don selepas itu dinanti.


Murah dengan senyuman. Berbeza dengan ustaz lain, Ustaz Don ni banyak menggunakan bahasa badan. Muka, tangan, badan. Agak menarik. Ustaz Don Daniyal. Namapun unik.


Pakcik sebelah sering gagal mengawal tawa. Kuliahnya santai. Kupasan Al-Quran dan Hadis tentang tidur, selawat dan kepentingan untuk melahirkan generasi yang hafaz, faham dan amal Al-Quran. SubhanAllah...


Ibu-bapa yang anaknya menghafal, faham dan mengamal Al-Quran, diakhirat kelak akan dikurniakan sepasang mahkota. Mahkota itu bercahaya bersinar yang terang melebihi terangnya cahaya Matahari. SubhanAllah...


InsyaAllah, itu niat aku untuk Lyana dan Iskandar. Tapi perlu juga perbincangan, penerangan dan pemahaman antara aku dan Ila. Tiada yang lebih baik untuk ibu-bapa melainkan amal soleh, sedekah jariah dan anak-anak yang soleh.


Hari ini hari baru. Tahun baru. Azam baru. Aku terniat untuk berkahwin. Duit boleh cari. Calon isteri...? Err... Susah nak jawab. Kriteria meninggi atas banyak sebab. Aku yakin akan ada untuk aku.


Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Andai tiada di'sini', InsyaAllah ada di'sana'.


Aku teruskan berdoa... Aku teruskan berusaha...


"Ya Allah ya tuhanku, andai ada insan yang baik untukku, untuk anak-anakku, untuk keluargaku, Kau satukanlah kami. Andai sebaliknya, Kau jauhkanlah... Hanya kepadaMua aku berserah dan meminta pertolongan..."


Selesai Dhuha, aku berangkat pulang sambil menundukkan pandangan... "Cooobaaa annn...", hehe...

Nov 20, 2011

Aku dan Dia 001: Pertunangan

Tanggal 19 November 2011, menjadi tarikh bersejarah buat adik perempuan aku yang perasan lawa; Lin. Hehe... Mesti dia hangin dengan statement tak sayang mulut dari Alongnya.


Pada hari itu, Lin bertunang dengan kekasihnya; Aznam. Perkenalan yang agak lama, berkawan, bercinta, moga kekal hingga diijab-kabul dan hingga ke akhir hayat. Itulah hakikat serta harapan semua orang dalam melayari hubungan cinta.


Kata seorang teman, cinta tanpa niat perkahwinan boleh membawa seseorang itu jatuh fasik. Na'uzubillah... Tapi sampai sekarang, aku masih kurang jelas tentang maksud fasik itu sendiri. Banyak perkara yang aku belajar melalui pengalaman dan kuliah. Moga bab fasik ni melalui kuliah. Takmo la melalui pengalaman diri.


Berbalik kepada majlis pertunangan, Alhmdulillah segalanya berjalan lancar. Persediaan majlis agak baik. Berkat kerjasama banyak pihak terutama ahli keluarga terdekat. Ribuan terima kasih aku ucapkan buat semua yang menjayakan majlis ini.


Jam 12.30, rombongan pihak lelaki tiba. Aku tak pasti pulak berapa dulang. Sebab tak cukup jari aku mengira. Meskipun telah dicampur dengan jari kaki. Adeh!


Tak mengapalah... Asal kedua belah pihak hepi dan tak rasa terbeban, Alhamdulillah.


Lain benar aku tengok Lin lepas mekap. Mahu atau tidak, kena mekap jugak sebab tanpa mekap, gambar tak boleh jadi cantik seperti diharapkan. Dari sudut mata aku, kecantikan semulajadi lebih memikat. Err... Berbalik kepada cerita asal... Lin nampak gembira sangat. Akupun jadi hepi dan bersemangat untuk bekerja.


Jadi, lepas makan, aku pantas menukar baju dan memikul tugas membasuh pinggan. Tugas yang ramai orang mengelak. Cara aku, usah mengharap orang lain. Hanya diri kita yang mampu mengubah keadaan.


Syukur, ada dua orang pekerja kontrak Papa menolong. Aku kesian jugak sebab bagi aku mereka adalah tetamu majlis. Hari ni lah masanya untuk mereka berehat. Tapi mereka bersungguh ingin menghulur bantuan.


Sehingga pukul 3.30 masih ada tetamu yang datang. Lewat, mungkin ada hal. Baru aku terasa lapar.


"Tugas dah selesai," hehe... Aku banyak basuh cawan. Pinggan majoritinya dibasuh diluar rumah.


"Dengan rasminya, kaunter ditutup," ada sikit-sikit tu harap adalah yang sudi setelkan. Yang ringan tangan. Perut dah lapar, tangan pun dah sakit, kini masa untuk berehat.


Selesai makan, aku baring kat bilik Mak. Tutup lampu, pasang kipas kuat-kuat sambil layan FB dan habiskan menaip untuk Intro 'Aku dan Dia'.


Terlelap...


Seronok majlis macam ni, dapat berkumpul dan berjumpa saudara-mara. Sesuatu ikatan takkan mampu bertahan elok tanpa berjumpa. Banyak bezanya.


Lin, aku lihat dia mampu akur dan mengikut kehendak tunangnya dalam persiapan hantaran. Walau banyak komen dan kritikan yang sengaja aku mainkan, dari hal jumlah hantaran melebihi seluruh jari, jenis barang hantaran dan banyak lagi, namun segalanya nampak tak membebankan sangat kepala dia dan boleh mengikut rentak keluarga sebelah sana.


Elok bagi aku. Latihan untuk bakal isteri untuk taat kepada suami dan bakal mertuanya. Syurga si suami pada ibunya. Syurga isteri pada suaminya. Sepatutnya jelas untuk semua menilai bagaimana dan apa yang patut kita turuti. Islam mengajar untuk kebaikan seluruh alam. Hanya pada yang taat dan ikhlas akan merasai nikmatnya.


Aku yakin, kebahagiaan milik mereka. Mak dan Papa pun jenis yang boleh banyak bertolak-ansur dengan orang. Untung dapat mertua macam Mak dan Papa.


"Aik, ayat macam promote diri je?"


Err...


Cuma satu aku nak tambah... Harap tak terkejut la sebab Mak dan Papa aku macam hero dan heroin cerita Full House. Loving couple yang suka bercakaran. Tapi elok bahagia sampai ke anak-cucu-cicit... Alhamdulillah... Kena belajar dari diorang tentang rasional dan tahap kesabaran yang tinggi untuk mengekalkan rumah-tangga.


Tahniah Lin... Tahniah Aznam... ;)


Dan Selamat Hari Lahir untuk aku... Huhu... Terima Kasih Mak!

Aku dan Dia: Intro (Part 2)

Kembalinya kehadiran anak-anak dalam hidup aku kini kembali mencorak kehidupan aku.


Kehadiran itu atas dasar perbincangan dan niat untuk bantu-membantu dengan bekas isteri dan suaminya demi kebaikan, demi masa depan Lyana dan Iskandar. Kesilapan lalu, kejatuhan masa lalu membentuk saya kebangkitan bersama untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Dan kata 'lebih baik' itu kini bagi aku lebih terarah kepada penambah baikan diri dalam segala segi terutama dalam sudut keredhaan Allah.


Meskipun komitmen bertambah dari segi perbelanjaan, tenaga, masa, yang tampak optimum, namun semua itu masih didalam mampu. Bab komitmen, bagi aku segalanya boleh dan mampu tapi perlu ada rasa ikhlas yang tinggi serta rasa ingin mendapat redha Allah yang menebal. Permulaannya agak sukar. Perlu latihan hati, serta praktikal yang berterusan. Alhamdulillah, buat masa ini semuanya dalam jangkauan.


Sesungguhnya, kehidupan kita ini adalah satu proses pembelajaran jangka panjang. Tak dinafikan, kesilapan yang kita buat adalah pengajaran paling berkesan. Terkesan dan memberi kesan mendalam dihati. Cuma yang sedikit menyesakkan dada, lumrah masyarakat yang lebih mudah untuk mengingati 1 kesilapan terakhir yang kita buat berbanding 1000 kebaikan yang kita ada. Nak buat macamana, nasi dah jadi bubur. Paling tidak, langkah terakhir yang termampu adalah ubahsuai bubur itu menjadi 'bubur lambuk'. Digemari ramai. Sedap dimakan dan boleh dihadiahkan pada ramai. Erm... ;)


Alhamdulillah, nilai positif kian menebal pada diri. Terima kasih kepada Mak, Papa, Wan, Lin, Is, Lyana, Atok, seluruh ahli keluarga, teman-teman, rakan-rakan dan insan-insan istimewa serta keluarga mereka yang pernah hadir dalam hidup aku. Semangat, pengajaran, sokongan, kasih dan sayang membentuk satu anjakan tak terjangka. Tanpa kalian, aku tak mampu berdiri elok seperti hari ini.


Kini, usia perpisahan melampaui 30 bulan. Bukanlah satu jangkamasa yang pendek untuk aku harungi. Kalau berhutang dengan Court Mammoth boleh dikatakan dah habis bayar lah... Hehe... Saja mengarut!


Bab sunyi, aku tak nak fikirkan sangat. Rasa sunyi itu telah melukakan hati orang. Dan akhirnya aku yang berdosa.


Siapa kata aku mampu hidup tanpa teman? Jelas, memang aku tak mampu. Tapi perlu tenang dan betul mengenali hati.


Banyak perhubungan yang berakhir ditengah jalan. Sebab ia dimulakan dengan rasa sunyi. Sunyi tidak boleh dijadikan alasan untuk bercinta. Aku bercerita tentang diri aku. Dan itu pendapat aku. Pengalaman mencorak hujah dan pendapat.


Sunyi kemudian berteman. Seronok! Lepas tu? Seronok berteman dan jatuh cinta? Benarkah cinta atau desakan rasa dan nafsu yang memuncak? Seringkali, rasa itu makin menyurut dan goyah.


Kegoyahan rasa itu membuatkan aku tak kuat untuk berkomitmen. Fikir itu tak mampu. Ini tak mampu. Aku pernah benar-benar jatuh cinta. Aku tahu bagaimana rasa itu dan tinggi ketahanannya. Yang mana dengan rasa itu orang mampu mengeluarkan kata, "Lautan api akan ku renangi..."


Aku kenal diri aku. Tahap kemampuan aku. Dan aku taknak jadi lelaki yang mementingkan diri dengan mengambil kesempatan atas rasa cinta wanita.


Kalau orang tanya, "Kau nak kahwin?"


Jawapan pasti aku adalah "Ya!" Konfiden tahap cipan! Bersemangat macam masa aku menyanyi lagu sekolah masa darjah dua dulu. Err...


Tapi dengan siapa? Jawapan itu hanya hati dan jiwa didalam aku yang mampu menjawab. Yang mampu kekal dan kuat mengasihi dengan hadirnya ikatan luar biasa yang tak terjangkau dek fikir logik kita.


Mengikut pengalaman, ada 3 golongan wanita yang membentuk rasa luar biasa.


Aku pernah kenal 3 orang berbintang Cancer. SubhanAllah... Tenang dan mendamaikan hati. Sungguh luar biasa. Namun mereka bukan milik aku. Positif perhubungan, mudah untuk berinteraksi, komunikasi dan saling mampu mendengar kata.


Aku pernah kenal 2 orang berbintang Virgo. Ikatan rasa yang baik walau tanpa kata. Walau kurang berhubung, ikatan masih baik. Agak pelik. Tapi itu hakikat. Golongan Virgo cepat mesra dengan Lyana dan Iskandar.


Dan aku paling tertarik dengan Leo. Aku tak tahu kenapa? Apa kaitan Singa dengan Kala-Jengking? Mungkin sama-sama punya kekuatan tersendiri tapi takkan mampu menjatuhkan antara satu sama lain. Pendapat sekadar teori kosong. Cumanya, aku tak tahu si Leo mudah mesra atau tidak dengan anak-anak aku yang berbintang Sagitarrius. Tiada peluang...


Itu semua sekadar kebetulan. Namun rasa itu hadir dihati dan tak siapa tahu.


Aku sentiasa berdoa agar dikurniakan pasangan dan zuriat yang menyejuk hati.


Aku bersyukur dengan apa yang aku ada hari ini. Namun aku masih berharap akan ada jodoh untukku. Jodoh yang baik untuk aku, anak-anak serta keluarga. Dalam masa yang sama aku kuat untuk memberi yang terbaik.


"Cinta adalah memberi... Seikhlas mungkin, sebanyak boleh... Balasan cinta adalah anugerah. Untuk dipelihara dan dijaga baik."

Nov 19, 2011

Aku dan Dia: Intro (Part 1)

Malam yang sejuknya agak luar biasa. Kipas dengan kelajuan 2 mampu membengkakkan tonsil. Huh! Silap aku...
Aku terlupa yang tekak aku dah mula lain macam sejak malam tadi. Ditambah pula dengan 'ais krim salad' yang menjilat jari. Err... Nak menyesalpun, benda dah lepas... Urm...


Semalam...


Hari Jumaat yang indah namun agak pendek ku rasakan bilamana kesibukan dari rumah hingga ke pejabat sampai la ke Klang menghiasi hari dari mula bangunnya aku jam 4.44 pagi hinggalah tidurnya aku jam 12.00 tengah malam.


Awal pagi, aku menjalani rutin harian bergelar seorang bapa yang menyekolahkan dua orang anak yang comel dan baik, aku harus pantas untuk bangun, 'termenung' dalam bilik air dan mandi. Masa agak kritikal. Terlewat sedikit, aku akan terlepas untuk berTahajjud. Alhamdulillah, amalan yang banyak membantu aku dalam memperbaiki kesihatan.
Memperbaiki dalam menenangkan emosi dan memperkasakan jasmani.


5.30 pagi, tiba masa untuk mengejutkan Iskandar. Kacau dia tidur... Cium pipi dia banyak kali, gomol sepuasnya dan lekapkan bibir dipipinya. Pastinya lepas tu Iskandar akan tersenyum. Hatinya lembut. Mudah tersenyum meskipun tengah marah.


Aku tepuk pehanya perlahan. Dua kali.


"Is, bangun mandi. Ayah gosokkan gigi, sabun belakang...," ayat memujuk. Ayat tu kini dah jadi seakan rutin. Salah satu 'permintaan manja' dari Lyana dan Iskandar adalah pertolongan dari aku untuk menggosokkan gigi mereka. Takde sebab dan tanpa alasan apapun dari mereka. Saja, nak manja atau malas. Aku ambil alasan 'nak bermanja' sebab lebih memotivasi... Dan bab sabunkan belakang mereka tentunya sebab tangan sendiri memang tak sampai dan tak rata.


"Huh! Belakang aku siapa nak sabun kan?" hehe... Mengomel sendiri didalam hati.


Mula-mula dulu, agak kelam kabut jugaklah. Setiap inci perkara dan perbuatan perlu tangan aku. Tapi bila aku dah bertemu rentak kerja, yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan sambil masa menunggu aku gunakan untuk tugasan lain. Kiranya 'line balancing' yang aku buat agak berjaya.
Hal penyediaan baju, basuh, sidai, gosok semuanya aku lakukan dimalam hari. Perlu selesai sebelum tidur.


Dalam baring, Is mendepakan tangan. Aku angkat dan dukung hingga ke depan bilik air.
Aku bantu bukakan baju dan seluar.


"Baju masuk dalam bakul," arah aku.


"Is kencing dulu... Kejap lagi Ayah gosokkan gigi...," mata seakan sukar dibuka, Is berjalan lesu memasukkan baju ke dalam bakul, masuk bilik air dan mencangkung.
"Zuuupppp..."


Ceh! Tutup la pintu kot yer pun...


Aku mengambil kesempatan menjerang air.


Aku buka pintu bilik air, Is masih mencangkung. Statik!


"Basuh cepat Is...," barulah bergerak. Pili dibuka, air paip mencurah perlahan. Aku tutup pintu kembali.


Selesai menggosok gigi, aku 'on'kan shower. Water heater.


Tengah Is mandi, sempat untuk aku bancuhkan air sirap untuk dibawa ke sekolah. Kena bawak bekal air. Tapi mereka taknak air kosong. Sirap kegemaran Iskandar. Lyana pula suka 'air hijau Pak Uda'. Tapi sebab mereka masih batuk, aku tak beri air hijau tu. Tak pastilah samada teori logik atau mitos, tapi tekak aku memang tak selesa minum air hijau tu bila batuk.


Selesai bancuh air, aku 'off'kan shower.
"Sabun badan...," aku capai sabun dan sabunkan belakang Iskandar. Dah buat janji, kena tunaikan. Hehe... Kalau tak lupa, mereka akan tuntut. Layankan aje!


Hingga selesai mandi, aku selesai sediakan air untuk bekal mereka dan air minum pagi. 2 hari ni, aku bagi air susu coklat Dutch Lady kotak kecik yang mampu memenuhkan dua biji cawan. Nak cepat.


"Cari baju dan spenser dalam almari," sejak ada almari minggu ni, kerja pagi aku dah berkurang. Iskandar dan Lyana aku dah ajar yang situ tempat baju Lyana, yang situ Iskandar. Sini spender Lyana. Situ Iskandar. Dan aku ajar mereka untuk menyusun baju dalam almari.


Masa untuk mengejut Lyana.


Adakalanya senang Lyana bangun. Alhamdulillah. Tapi kebiasaannya...


"Astaghfirullah hal 'azim..."


"Lyana, meh mandi. Ayah dukung. Ayah gosokkan gigi. Ayah sabun belakang..."


"Nak ayah mandikan...," cakapnya tersekat-sekat. Mamai!


"Lyana dah besar. Ayah gosokkan gigi, sabun belakang..."


"Nak Ayah mandikan...," Lyana sambung tidur.


Erk!


"Jom tukar baju sekolah. Tak yah mandi," aku buat-buat nak bukak seluar dia.


Lyana mengamuk kecil. Aku peluk dan aku dukung.


Sebelum ni, aku jadi naik angin dan berkeras, memang tak jalan. Kena main psikologi. Kena banyak bersabar. Alhamdulillah ok la sket.


Sambil Lyana mandi, sempat aku sediakan roti tuna mayonais. Sequence sama macam Iskandar tadi. Cuma aktiviti selitan tu yang berbeza.


Selesai pakai baju, kami solat Subuh sama-sama. Tapi bukan berimam. Sebab masing-masing nak duduk depan. Yang paling best, bila nak sujud ada pulak yang berjalan ke depan sebab nak sujud sama depan dengan tempat sujud dahi aku. Bangun sujud boleh pulak merangkak kebelakang untuk duduk sama sebelah aku. Mula-mula dulu, aku memang tergelak kecil dalam hati. Hilang kusyuk beb! Ditambah pula konsisten Lyana yang tangan tak reti nak diam macam bersilat pun ada. Masa solat la baru mula sibuk nak betulkan serkup kepala dan tudung. Erm... Tapi sekarang aku dah terbiasa. Geli dihati tetap ada. Macam-macam kerenah.


Bila difikirkan, keindahan sebuah kehidupan sebenarnya akan wujud bila susah dan senang itu bercampur. Silih berganti mencorak rasa dihati agar kita sentiasa berfikir dan menghayati.


SubhanAllah... [sambung...]

Nov 17, 2011

Umaira 047: Kisah Berakhir...

Umaira...


Panggilan itu cukup manja bagi yang tahu. Sungguh, Rasulullah S.A.W memperlihatkan kepada kita keindahan berbahasa dengan memanggil isteri dengan gelaran atau panggilan yang baik.


Putih kemerahan...


Aku mengambil nama itu sebagai tajuk cerita hidup aku, dalam aku yang tercari dan tergapai untuk bangun dari lena yang panjang. Lena mungkin kurang tepat, tapi ia adalah perkataan yang lebih baik dari aku gunakan kata 'derita'. Mungkin ego... Lumrah manusia bernama lelaki. Tapi nasihat seorang teman, usah menggunakan ayat dan kata buruk mengenai diri kerana bila disebut selalu, bila disebut ramai, kelak ia akan berupa doa. Doa yang buruk. Na'uzubillah...


Sebentar tadi, entah macamana aku tergerak untuk menonton cerita 'Terowong' di TV3. Kisah yang dipaparkan untuk episod hari ini mirip kepada cerita 'Nang Nak'. Cumanya, dalam slot 'Terowong' ni si suami lebih kepada berhalunisasi dek kerana terlalu mencintai dan merindui si isteri yang sebenarnya telah meninggal dunia akibat kemalangan.


Apa kaitan cerita ni dengan aku?


"Cinta..."


"Cinta?"


"Ya, cinta...," senyuman nakal terukir dibibir.


"Cinta? Spesifik?"


"Cinta pada yang tiada...," err... Jangan salah faham. Aku tak berhalunisasi. Tapi cerita tu banyak menyedarkan aku. Spesifiknya, dalam cerita tu, si suami kelihatan macam orang gila sebab dia menganggap isteri dia masih hidup. Bercakap seorang. Pada dirinya dia rasa bahagia. Tapi hakikat lahiriahnya dia umpama mayat hidup yang gila bila kehidupan tak terurus, serabut, kusut masai, muka pucat, makan-minum tak terjaga hanya kerana dia merasa bahagia dengan kehidupan bersama 'isteri' tercinta. Dia merasakan semua soal pengurusan rumah-tangga dan diri dia diuruskan oleh 'isteri' walhal si isteri sesungguhnya tidak wujud.


Aku off tv. Aku pegi gosok baju Lyana...


Malas aku nak tengok adegan tahyul dan kurafat dihujung cerita.


Terdetik dihati. Apa yang kalian lihat pada diri aku?


Sungguh, kebelakangan ni emosi aku agak terganggu. Dan hati aku benar rasa kekosongan. Cuma cinta itu tetap mekar walau hakikatnya aku bertepuk sebelah tangan. Cinta itu membentuk motivasi yang mana menguatkan hati dan semangat aku dalam menjalani kehidupan seharian.


Sesungguhnya kekuatan dan semangat hakiki hanya dari Allah. Namun lumrah bagi aku yang Alhamdulillah masih sihat dan normal ni menginginkan rasa dikasihi dan mengasihi.


Apa yang kalian lihat pada diri aku?


Aku masih keliru... "Adakah aku sudah bersedia untuk berkomitmen?"


Positif tindakan aku untuk setia pada cinta ini, ia sebenarnya menidakkan komitmen dalam jangkamasa terdekat ni melainkan berlaku keajaiban yang tak disangka.


Aku tahu, secara keseluruhannya tetap salah.


Tapi, apa yang perlu aku lakukan?


Aku terfikir untuk menamatkan cerita.


Seorang teman berkata, bilamana seorang wanita berdiam bila kita berkali meluah rasa cinta itu bermaksud wanita itu menolak dengn cara yang baik.


Err... Sebenarnya, dah lama Aku tahu benda ni. Tapi... Aish! Banyaknya la alasan dengan bertapi.


Elok rasanya buat masa ni aku curahkan sepenuh rasa kasih dan sayang aku pada Lyana dan Iskandar. Pada Mak dan Papa. Pada adik-adik...


"Cinta yang suci hadirnya sekali dan ia akan kekal selama-lamanya... InsyaAllah akan ada untukku...," aku pejamkan mata. Doa tidur dibisik perlahan...


"Selamat malam Sayang..."

Nov 16, 2011

Umaira 046: Kenapa dia?

Aku amati, memang benar kata seorang teman yang kita tak boleh biarkan mental kita sakit bila mana Allah turunkan ujian kesakitan pada fizikal kita. Didalam hati kita masih mampu berdoa. Masih mampu berzikir. Bermakna kita mampu beribadah kepada Allah selagi mana kita masih mampu berfikir.


Allah menguji atas mampu hamba-Nya...


Syukur punya teman yang mampu mengingatkan aku tentang kesilapan aku. Atau lebih tepat, atas kelalaian dan keterlupaan aku untuk berzikir dikala aku terlantar kesakitan. Pitam yang aku alami semalam cumalah ujian kecil dari Allah. Tapi aku lebih risaukan kesihatan anak melebihi kesihatan aku, mental aku serta jiwa aku yang memerlukan makanan rohani. Zikir, tasbih, tahmid dan takbir... SubhanAllah, Alhamdulillah, La ila ha illAllah, Allahuakbar...


Aku sedikit bersemangat diawal pagi. Wajah itu seakan terkejut dengan kehadiran aku tanpa dijangka.


"Assalamualaikum," aku menguntum senyum.


"Err... Waalaikum salam... Nape?" Matanya membulat. Akupun tak jangka dan aku main redah je sebenarnya.


"Untuk awak...," aku hulurkan beg plastik merah kepadanya.


"Ambillah...," dia seakan ragu. Mungkin keliru. Beg plastik merah itu bertukar tangan. Dan aku berlalu.


"Hadiah bila ikhlas nak bagi, bagi aje, jangan cerita banyak. Tak elok. Tak manis! Jalan terus...," hati kecilku mengomel sendiri.


"Dah, usah difikir apa yang dia rasa. Yang penting ko rasa lega, kan?" Ooo... Ok...


Sedikit kekeliruan yang aku mulai sedari beberapa hari ni. Sebenarnya aku tak ingat betulpun wajah itu? Ataukah hanya bayangan? Erk! Parah ni beb!


Atau mungkin atas sebab tak memandang demi menjaga syariat dan menjaga hati membuatkan aku tak ingat wajah dia yang sebenar?


"Habis tu apa yang 'mengikat hati' kau selama ni?" Err... Aish! Entah? Mungkinkah sekadar ikatan rasa dek pandang pertama tu bolehkah selamanya bertahan macam ni? Tiada nombor telefon, tiada gambar...


"Telefon dan gambar tu dorongan nafsu...," logiknya camtulah.


"Pelik. Tapi agak bagus. Tapi macamana kau boleh mengekalkan rasa tu?" Aish... Soalan yang sebenarnya aku tak mampu nak jawab.


"Serius, akupun tak tahu. Soal ikatan hati dan perasaan yang pelik. Yang aku pasti, aku sahaja alami benda ni sebab dia tak pernah cakap apa-apa tentang diri dia. Dalam ertikata lain aku ni dalam situasi 'Syok Sendiri'...," peritnya statement untuk ditelan.


"Ooo... Haha... Kesian!" Cet!


"Aku dah cuba lari. Malah aku cuba mencari cinta pada insan lain. Cuba lupakan dia. Masalahnya, makin aku cuba jauh, makin ia dekat. Dan akhirnya, orang lain terluka, aku dan dia dok macam tu jugak."


"Kenapa kau syok sangat kat dia?"


"Aku tak tahu... Bak aku cakap tadi, dia taknak aku dan aku pun bawak diri. So, patutnya setel. Tapi makin aku lari, makin ia datang. Jadi sekarang aku biarkan aje perasaan tu. Tak buat apa-apa. Orang kata, cinta perlu dibaja. Tapi kes ni, dah kemarau tak berair, takde baja, tapi elok mekarnya. Lagi aku cantas lagi banyak ia tumbuh. Penat aih. Asal tak memudaratkan hidup aku, ok la," panjang aku merapu.


"Jadi apa kau nak buat sekarang?"


"Seeloknya aku relaks macam ni. Aku cuba untuk tak jengahkan diri depan dia. Jangan pandangpun andai terserempak. Mungkin dengan cara ini aja lama-lama segalanya kan berakhir. Bagi aku semua ni takdir Allah. Bukan aku tak berusaha untuk dapatkan dia. Setelah gagal, aku berusaha pula melupakan dia. Dan sekarang, aku serah pada takdir. Mungkin juga ini yang terbaik untuk aku sekarang ni"


"Maksud kau?"


"Mungkin... Wallahu'alam... Mungkin saat dan ketika ini aku masih tak mampu lagi atau belum bersedia lagi untuk bergelar suami sekali lagi. Walaupun aku rasa 'boleh', tapi mungkin 'boleh lah'. Jawapan yang tak meyakinkan. Jadi, dengan cinta yang tak berbalas, hati aku mekar dan elok begini dan mampu memotivasikan diri untuk hidup lebih baik dalam masa yang sama aku tidak lagi mengecewakan orang lain sepertimana terjadi sebelum ni," ujarku sambil mengurut kening. Sakit kepala yang tak surut. Kurang tidur agaknya?


"Tapi sampai bila?"


"Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Aku akan terus perbaiki diri dan terus berdoa...," senyum nipis terukir. SubhanAllah... Minda aku lega. Jiwa aku tenang. Alhamdulillah...


"Err... Nak tanya sket boleh?"


"Tanyalah..."


"Siapa gadis tu?"


"Erm... Biarlah rahsia... Kali ni tak siapa tahu. Hanya aku dan dia..."

Nov 15, 2011

Umaira 045: Aku dan dia...

"Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik, dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin."
[An-Nur: Ayat 3]


"Dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita hamba yang mukmin lebih baik daripada wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke syurga dan ampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pengajaran."
[Al-Baqarah: Ayat 221]


Amat jelas sebenar larangan Allah dalam kita mencari pasangan hidup. Antara apa yang kita lihat, antara apa yang kita ingini dengan apa yang sebenarnya patut kita miliki.


Bumi Allah ni luas dan pastinya masih ramai calon isteri mahupun suami yang mampu kita pilih.


Bagi aku, faktor kesabaran tu amat penting dalam menanti 'kurniaan' Allah. 'Anugerah' yang akan kita jaga baik, yang akan kita pimpin ke syurga.


Ada ketika, kita akan bertemu dengan seseorang yang baik dan menarik hati. Kita rasakan yang dialah pasangan hidup dan mati kita. Tapi sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Ditakdirkan orang itu tidak menerima kita tetapi orang lain.


Sepertimana pengalaman cinta lalu. Katanya, "Mungkin saya dirakdirkan untuk membimbing bakal suami saya. Saya redha dengan pilihan Mak dan Ayah saya..."


Seorang rakan juga pernah berkata, "Lelaki baik untuk perempuan yang baik. Begitu juga sebaliknya. Tapi mungkin juga lelaki yang baik itu yang mampu membimbing seorang perempuan yang kurang baik untuk jadi baik. Diakhir cerita, kedua-duanya akan jadi baik. Boleh juga berlaku sebaliknya..."


Ada logiknya.


Bagi aku, janganlah berputus asa atas setiap ketentuan. Dan banyakkan berdoa. Berusaha dalam mendapatkan pasangan yang baik bukanlah memaksa orang yang kita suka itu menerima kita. Tetapi adalah usaha memperbaiki diri dan perbanyakkan doa agar di'anugerah'kan seorang yang baik buat diri. Soal hati dan perasaan itu adalah subjektif malah ia mampu berubah-ubah.


Dalam soal hati dan perasaan, mahu atau tidak aku perlu cari seseorang yang aku punya 'rasa' kuat agar aku mampu lebih bertanggungjawab. Agar 'rasa' itu mampu memotivasikan aku dalam menjalani kehidupan seharian. Rasa cinta, kasih dan sayang yang kuat dan utuh itu penting. Cuma bila masanya, siapakah orangnya, dimana tempatnya, disitu letaknya jodoh yang akan ditentukan oleh Allah S.W.T.


Sebagai hamba-Nya, teruskanlah berdoa dan perbaiki diri agar kita mampu memimpin (bukan dipimpin) pasangan ke jalan yang diredhai Allah. Kerana pengharapan itu hanyalah pada Allah, bukan kepada manusia.


Aku yakin, tak siapa tahu pada siapa cinta ku halakan? Aku yakin, tak siapa tahu kenapa aku macam ni? Sebab, aku tahu apa yang sebenarnya aku rasai dan nikmati. Sebab, aku tahu yang aku yakin dengan janji Allah... SubhanAllah...

Nov 14, 2011

Umaira 044: Ujian dan dugaan serta lagu baru

"Aku mencintaimu,
Dan aku perlukan cintamu,
Bilakah kan hadir cinta untukku dan untukmu?"


Serangkap lagu yang baru aku cipta sebentar tadi. Melodinya indah, tapi senikatanya merapu. Dah jatuh cinta kat orang tu, leh pulak ditanya bilakah akan hadir cinta untuk orang tu. Aish... Macam tak ikhlas je?


Lama jugak aku ulangi rangkap tu sambil menyidai baju. Ada logiknya bagi situasi hidup kita hari ni. Realiti kehidupan. Cinta biasanya akan lahir dari mata. Kemudian baru turun ke hati. Ok, setel stage pertama yang disebut 'cinta pandang pertama'.


Otak analisis. Kita pada stage awal ni disebut syok sendiri. Bila kita mengharapkan cinta berbalas, akan hadir usaha. Samada usaha yang bukan mahupun yang bukan-bukan (yang pasti, hindari syirik kepada Allah)... Dalam stage mengharapkan cinta berbalas ni kita akan diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Luaran dan dalaman.


Ujian dan dugaan luaran seperti biasa, kita tak tahu awek tu suka kat kita ke idak, awek tu mungkin dah ada 'balak' (kena pastikan dia single yakni belum bernikah dengan sesiapa)... Ibu-Ayah dia dah ada pilihan lain - bab ni seeloknya berundurlah sebab restu Mak-Ayah tu penting, dia bela kucing dan kita alergi pada kucing - pun masalah jugak. Manakala ujian dan dugaan dalaman adalah faktor keyakinan diri, faktor persediaan serta kematangan, dan banyak lagi yang boleh membuatkan rasa cinta tu 'tergantung', 'tergayut' dan 'terjuntai' di awangan.


So, baru kena dengan baris terakhir rangkap lagu aku tu, 'bilakah kan hadir cinta untukku dan untukmu?' atau lebih mudah disebut 'bilakah cinta kan bersatu?'


Itu ayat cinta orang muda. Namun tiadalah penyatuan cinta terbaik melainkan melalui jalan pernikahan. Kan?


Sampai situ je 'review' lagu terbaru aku yang baru serangkap siap yang hadirnya dikala kepala tengah pening termakan lebih MonoSodium Glutamat sambil menyidai baju diiringi bunyi rintik hujan menerjah 'awning'.


Berbalik kepada realiti hidup aku hari ni, erm... Menarik!


Aku mampu menyerap tekanan dan berjaya menenangkan diri dan menghadapi satu lagi ujian hidup.


Malam tadi batuk Lyana masih teruk. Antibiotik memberi kesan positif (dengan izin Allah), cuma ketika tidur entah macamana batuknya datang tak henti. Tiba-tiba dia bangun.


"Ayah, nak muntah...," aku pantas membuka lampu. Aku lihat tangannya menekap mulut. Tapi tanpa mampu ditahan, segalanya keluar mencurah. Aku tak mampu buat apa.


Selesai muntah, Aku dukung Lyana ke bilik air.


"Bukak baju dan seluar... mandi terus la. Basuh kepala tu...," macamana nasik muntahnya boleh terbang ke atas kepala Lyana? Erk!


Aku kembali ke bilik. Aku tengok Iskandar masih lena.


"Is, bangun...," aish!


Bukan aku cemburu Iskandar tidur. Tapi tadi tu Lyana muntah atas peha Iskandar. Habis seluar corak petak bertukar corak nasik dan ayam yang tak hancur. Pergkh!


Lama jugak aku ambil masa untuk mengemas. Mujur ada tilam yang Mak tinggalkan hari tu. Hikmah setiap tindakan kita. Kalau tak, tentu kami bertiga tidur atas tikar je.
Isk.. Isk..


Malam tu, aku tunggu hingga Lyana benar lena. Aku tinggikan bantalnya. Sediakan baldi untuk dia muntah (besen takde kat rumah ni), tisu dan aku duduk dekat memerhati sambil meng'update' status di Facebook. Terima kasih pada rakan yang prihatin.


Selepas berkumur air garam, Alhamdulillah Lyana makin kurang batuknya. Dan muntah sekadar mengeluarkan lendir dan kahak.


6.50 pagi, Lyana bangun. Memang aku tak kejutkan. Sebab doktor dah bagi cuti. Tapi agenda penting hari ni adalah Iskandar.


Semalam, Klinik Aniza dah keluarkan surat untuk rujuk masalah Iskandar pada doktor pakar. Dan melihatkan demam Lyana beransur pulih, hari ni aku ambil kesempatan untuk bawa Is ke Sri Kota Specialist Medical Center.


Petang semalam semasa memandu balik ke Bukit Sentosa, dalam lebat hujan yang turun hati aku merasa syahdu semacam. Bayangan itu cukup kuat untuk aku menidakkan. Ia hadir difikiran membuatkan aku tersenyum sendiri.
Tak perlu untuk aku hadir dalam hidup dia. Mungkin itu juga mahunya. Aku serahkan segalanya pada Allah. Terlalu banyak situasi 'kebetulan' berupa pertemuan dan situasi yang tak terjangka tu hadir buat kami. Cuma pastinya buat masa ni dia bukan untukku.


"Err...," sukar untuk aku pastikan 'rasa' tu. Tapi sebolehnya aku nak mengelak dari berjumpa dia pagi ni walau berlainan kata hati. Aku cuba tundukkan pandangan.
Itu lebih baik dalam sesuatu hubungan, err... Demi redha Allah...


Selesai mengambil 'Guarantee Letter', sempat aku naik ke opis ditingkat 4. Alhamdulillah, bos ok. Melihat wajah rakan sekerja, aku sedikit bermotivasi. Selama ni diorang banyak memberi sokongan moral dalam aku cuba membesarkan dua orang anak.
Orang 'jantan' jaga anak, faham-faham ler camne gayanya.


2 haribulan November 2011 akan datang, andai batuknya pulih, Iskandar akan menjalani pembedahan kecil seterusnya akan disunatkan oleh doktor yang sama. InsyaAllah semuanya akan ok...



"Kepada-Nya aku berserah... Kepada-Nya jua aku memohon pertolongan..."


"Amiinn Ya Robbal 'Alamin..."

Nov 13, 2011

Umaira 043: Cinta dan Tanggungjawab

"Seeloknya jumpa Urologist dulu...," antara ayat doktor yang aku masih ingat. Dia boleh sunatkan Iskandar. Tapi 'belon' pelik tu perlu mendapat komen pakar Urology. Mula-mula agak pelik jugak dengan perkataan tu sebab memang aku tak pernah dengar sebelum ni. Almaklum, belajar tak berapa tinggi. Neurology pernah la sebab aku ada masalah migrain sebelum ni.


Tertangguh...


Lyana pula demam panas. Aku suspek tekak yang jadi punca. Budak. Berbuih aku pesan jangan minum air sejuk, jangan minum ais, jangan makan ais krim... Tapi apa kan daya. Lagi dilarang, lagi seronok la bila aku takde. Setiap kali demam, punca tekak sebab ais. Wallahu'alam. Tapi Allah menguji atas mampu hambaNya. Dan Dia uji sebab Dia sayang.


Malam ni aku tidur awal. Migrain sket bila adalah masalah (ada alasan untuk cari teman berkongsi suka dan duka... Hehe...).


3.30 pagi aku terjaga sebab nak solat Isyak. Dah niat, memang senang bangun. Aku rasa badan Lyana. Makin bahang. Aku pakaikan 'Cool Fever' didahinya.


Selesai Isyak, aku cari bekas, ais dan tuala. Isi air paip, lap badannya. Lepas makan ubat, Lyana sambung tidur. Masih batuk-batuk. Agak teruk. Awal pagi esok terus kena pergi Klinik Aniza.


Sambung Tahajjud dan Witir. Dah jadi rutin. Tapi biasanya aku buat Witir lepas Isyak. Sebab takut terlajak tidur dan tak sempat berTahajjud. Satu proses perubahan jangkamasa panjang. Macam kebanyakan insan bergelar manusia, segala perubahan positif tu hanya berlaku selepas mengalami kegagalan dalam hidup. Kegagalan yang memberi impak besar dalam kehidupan. Susah sangat nak ambil iktibar dari kegagalan orang lain.


Macam aku, kegagalan rumahtangga membawa aku kepada proses kemurungan yang panjang. Sebab terlalu lama aku 'menyorok', akhirnya aku mula mendekatkan diri dengan Masjid. Menginsafi kekurangan diri. Aku mulai mendekati majlis-majlis ilmu. Solat berjemaah diawal waktu. Aku yakin itu doa Mak. Sebab Mak memang risau dengan masalah kemurungan aku.


Hinggalah aku bertemu beberapa orang insan bergelar wanita. Yang mengajar aku berTahajjud. Ada yang mengajar aku berWitir dan Dhuha. Ada yang menekankan cara hidup yang sihat. Yang mengajar aku erti 'bersedia dan realistik' menghadapi alam perkahwinan. Dan kini, mungkin masa yang elok untuk aku benar-benar mencari pasangan hidup sekali lagi.


Jam menunjukkan 4.30 pagi. Lyana mengigau. Cakap sorang-sorang. Macam berborak dengan adiknya siang tadi. Comel pulak aku dengar. Tapi tak sempat nak rakam. Hehe...


Kipas ku perlahankan. Tekak aku pulak yang terasa sakit bila kipas laju sangat.


Aku matikan lampu. Menulis dalam gelap tak elok. Tapi mengganggu orang tidur disebabkan lampu siling terang benderang lagi tak elok.


Sedikit persoalan berlegar.


Jawapannya mungkin berguna untuk semua.


Soalan: 'Benarkah cinta yang hangat dan mendalam itu penting dalam sesuatu perhubungan?'


Jawapan peribadi aku, Ya! Sangat penting.


Kenapa? Bagi aku, perasaan cinta, kasih dan sayang membentuk motivasi luar biasa dalam kita menjalankan tanggungjawab kepada pasangan dan keluarga. Sebab itu ia perlu sentiasa hangat.


Aku realistik bab benda ni sebab aku tahu benar tentang kerenah diri aku, jiwa aku.


Urm... Ketandusan idea.


Mata makin pedih. Nak sambung tidur ker?


Aku rasa badan Lyana. Erm, panasnya dah surut.


Doa aku, akan ada insan yang benar buat aku. Saling punya rasa cinta, saling bertanggungjawab dan saling menenangkan hati. Aku yakin dengan doa. Aku yakin dengan janji Allah. Dan sesungguhnya hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya hari ini dan apa yang terbaik untuk hamba-Nya hari esok dan seterusnya...


SubhanAllah...


Alhamdulillah... ;)

Nov 12, 2011

Umaira 042: Kehadiran di hati...

Rasulullah S.A.W. bersabda; "Barangsiapa yang menikahkan (puterinya) kerana kekayaan lelaki, meskipun buruk agama dan akhlaknya, maka pernikahan itu tidak diberkati-Nya.

Siapa yang menikahi wanita kerana kedudukannya, Allah akan menambahkan kehinaan kepadanya, Allah hanya akan memberi kemiskinan.

Siapa yang menikahi wanita kerana bagus nasabnya, Allah akan menambah kerendahan padanya.

Namun barangsiapa yang bernikah kerana ingin menjaga pandangan dan nafsunya atau kerana ingin mempereratkan kasih-sayang, Allah akan sentiasa memberi berkat dan menambahkan keberkatan itu padanya"

[Hadith Riwayat Tabrani]


Alhamdulillah, selesai urusan sekolah anak-anak.


Lyana dapat tempat ke-14 dari 18 pelajar dalam kelas. Alhamdulillah...


Peratusan keseluruhan menurun sedikit. Bila aku teliti dua subjek yang markahnya menurun. Agak ketara. Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Erm, kira logik la jugak. Sebab kitorang ni berketurunan Peranchis. Sebab tu Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab kitorang lemah. Hehe...

Bekas isteriku datang sorang. Jadi kami berempat la tadi disekolah. Boleh la disebutkan sebagai 'ex-family'.


Apapun keadaan, bagi aku perkara yang paling penting ialah lakukan yang terbaik untuk anak-anak. Dan jangan kedekut untuk mendoakan kebaikan serta kebahagiaan orang lain.


Aku lega bila melihat bekas isteri ku kini hidup bahagia dan stabil dengan suami barunya. Tambah-tambah selepas dikurniakan seorang putera yang comel. Sesungguhnya Allah Maha Luas Pengetahuan-Nya. Jelas, perpisahan adalah jalan terbaik buat kami. Walau pada mulanya, banyak kekurangan perlu ditampung selain masalah emosi. Tapi hakikatnya, Allah menunjukkan cara bagaimana untuk keluar dari jalan buntu walau betapa pahit rasa ketika itu dan betapa perit untuk ditelan.


Kesan positif kebahagiaan dan kestabilan rumahtangga akhirnya akan mengalir pada Lyana dan Iskandar. Akupun dapat tempias. Tiada apa yang lebih baik selain kebahagiaan dan ketenangan dalam kita hidup didunia ni.


"Lyana nak ikut Ayah," err... Aku pandang bekas isteriku. Muka dia tenang. Masa dan pengalaman banyak membantu mematangkan kami. Belajar untuk tenang, bertoleransi dan berkomunikasi.


"Ok la. Mommy tak nak paksa-paksa," lega aku dengar jawapan tu. Lagipun emosi Lyana agak 'fragile' yang memerlukan teknik yang berkesan dalam menangani kehendaknya.


Aku dan Lyana balik Klang. Iskandar akan menyusul kemudian. Perancangan petang ni untuk mendaftarkan Iskandar bersunat di Klang. Is 'buta'. Doktor perlu periksa sebelum tarikh 'penyunatan' (hehe) dapat ditetapkan.


Dalam kereta Lyana batuk-batuk. Risau gak melarat. Suara diapun berubah. Sakit tekak agaknya. Moga cepat sembuh!


Mujur ada Lyana meneman. Memang banyak ketika kini aku rasakan yang aku kesunyian. Mujur ada 'perasaan' yang kuat itu membangkitkan motivasi. Perasaan yang membangunkan aku dari lena. Kembali tekun mendekatkan diri dengan Ilahi. Tidak lagi berkhayal yang tidak-tidak. Dan yang paling penting, aku tidak lagi migrain mahupun sakit kepala.


Kini tiba giliran aku untuk mencari pasangan hidup. Mampu menemani aku disetiap saat aku memerlukan. Berkongsi rasa kasih dan sayang.
Jodoh yang baik dan solehah untuk aku, anak-anak, keluarga dan masyarakat. Bunyi macam keterlaluan, tapi tanpa impian takkan terzahir usaha. Dan aku yakin dengan doa dan Istikharah.


Bukan tidak penah aku mencuba, namun berkali juga aku gagal sebelum ni bila mana perasaan aku menyurut dan adakalanya hilang. Suka dan seronok yang hanya hadir dipermulaan perkenalan sedikit merunsingkan. Mungkin juga itu hanya keterujaan dek terlalu lama sunyi bersendirian.


Bukan aku tak mencuba. Aku juga beristikharah. Aku yakin pengakhiran duka sebelum-sebelum ini petunjuk Istikharah.


Kini aku perlu lebih berhati-hati agar tiada lagi yang terluka. Dan yang satu ini telah lama ku kenali. Lama juga aku berkawan dan aku juga pernah 'lari' demi mengelak dari kekecewaan yang sebenarnya aku tak pasti. Tapi, tak benar mencuba, manakan tahu jaya atau kecewa dihujung cerita, kan?


Aku nekad. Kali ni aku akan fokus dan hadapi setiap saat dan ketika dengan tenang dan teratur. Perlu ada niat yang kukuh serta perancangan yang rapi.
Demi memiliki 'si Umaira penenang hati'...


Moga Allah permudahkan jalan untukku... Amiinn...

Nov 10, 2011

Umaira 041: Jodoh untukku...

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
(Ar-Rum: Ayat 21)


Aku tertarik dengan apa yang ditulis oleh Burhan Sodiq didalam bukunya; 'Ya Allah, Diakah Jodohku'.


Katanya,
"Islam memahami bahawa manusia tidak mungkin boleh hidup bersendirian. Dia memerlukan teman, bahkan lebih dari sekadar teman. Dia memerlukan suami. Dia memerlukan isteri. Dialah manusia. Manusia yang ditakdirkan untuk memiliki dan dimiliki. Bersandar dan disandari, saling menyayangi dan saling mencintai."


"Tip daripada Rasulullah S.A.W. dalam memilih calon belahan jiwa, carilah yang cantik parasnya, baik keturunannya, banyak hartanya dan yang paling baik agamanya. Namun, pilihlah calon yang beragama kerana ia lebih baik daripada seluruh isi dunia. Mohonlah petunjuk-Nya lewat Istikharah. Jika belum bertemu, bersabarlah dan yakinlah bahawa jodoh kita sudah ditentukan sejak azali."


"Teruslah mencari, berjalanlah tanpa henti. Semoga bertemu permata yang terbaik untuk dirimu, keturunanmu dan agamamu."


Lebih kurang jam 12.30 tengahari, aku berlegar ditingkat 1 Kompleks PKNS Shah Alam.


Terpandang si penjaga butik.
"Err... Tundukkan pandangan...," aku mengomel sendiri. Almaklum, penyakit keturunan - suka melihat keindahan ciptaan Ilahi.


Mak dan Lin ke tandas. Tujuan utama mencari selendang dan tudung Lin. Minggu depan Lin dah nak bertunang. Senang cerita, bertunang macam nak rak. Aku memang kurang bersetuju dengan cara orang sekarang. Keterlaluan dan berlebihan dan urusan tunang-nikah-kahwin. Tapi hak masing-masing.


Dalam menanti, aku terhenti disebuah kedai buku agama.


Mata aku terpaut pada sebuah buku. 'Ya Allah, Diakah Jodohku'. Penampilan kulitnya menarik disamping tajuk yang aku rasakan kena dengan keadaan aku sekarang.


Aku teliti muka yang menyenaraikan isi kandungan. Erm... Menarik. Aku menyelak spontan. '30 perbezaan Cinta antara Lelaki dan Wanita'...


Kali ni aku betul terpukul dengan perbezaan kedua, "Wahai lelaki, ketika engkau berasa tidak mampu menyimpan rahsia daripadanya, bererti engkau menyintainya..."


Erk!


Ada dua situasi dengan dua insan berbeza. Satu, aku berahsia untuk menjaga hatinya. Satu aku tak mampu berahsia juga untuk menjaga hatinya. Uh! Aku taknak olah lebih. Sedikit input yang berguna dalam kita menilai hati dan perasaan sendiri.


Terus Aku tutup buku tersebut.


"Assalamualaikum Bang. Ada tak buku yang macam ni lagi?"


"Wa'alaikum salam. Penulis yang sama?"


"Err... Tak. Tajuk. Err... Maksud saya tentang perihal mencari jodoh...," aku kurang fokus. Sesuatu kuat berlegar difikiran.


Beberapa jenis buku dari penulis dan penerbit yang berbeza. Namun, yang mula-mula aku temui tu yang terbaik. Terlalu kena dengan situasi. Tentang konflik hati.


"17 ringgit. 15 dah lah...," diskaun diberi tanpa diminta. Alhamdulillah.


Aku mohon resit. Untuk 'income-tax'.


Selesai solat Zohor, aku terperap dibilik melayan buku yang baru aku beli tadi. Dari coretan pengarang, setiap butir kata aku amati perlahan.


Baru semalam aku cakap pada Mak dan Papa...
"Kalau tak kahwin boleh tak?"


"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas."
(Al-Ma'idah: Ayat 87)


Bernikah itu halal. Dan menidakkannya umpama aku mengharamkan diri aku menikah. Dan tindakan itu bolehlah dikategorikan sebagai melampaui batas. Urm...


SubhanAllah... Sesungguhnya aku amat terkejut dengan 'jodoh' aku dengan buku ni. Dua perkara yang mampu dirungkai. Satu, tentang perasaan aku. Dua, tentang keinginan aku.


Aku mulai sedar yang aku sebenarnya dalam bibit untuk 'menyintai' seseorang walau berkali aku cuba menidakkannya.
Walau berkali aku nafikan rasa dan cuba lari dari kenyataan.


Dan aku perlu kuat mengembalikan keinginan aku untuk berkahwin. Setidak-tidaknya jangan diulang kata 'tak nak kawin' atau berputus asa untuk berkahwin.


Ilmu Allah itu luas. Betapa kerdilnya aku dalam bermain rasa. Namun Alhamdulillah aku diberi petunjuk olehNya.


Kini, aku perlu fokus. Andai aku inginkannya, aku perlu berterus-terang dan cuba sedaya mampu. Tiada lagi masalah soal hati dan perasaan. Cuma perlu diperkuat agar tiada lagi konflik keyakinan.


Yang baik takkan datang bergolek. Kriteria aku, komitmen serta status membayangkan segalanya tentang jodoh buat aku tampak kritikal. Dengan usaha, aku yakin segalanya mampu terzahir buat aku.


"Ya Allah ya Tuhan ku... Andai dia baik untukku, Kau satukanlah kami. Andai sebaliknya, Kau jauhkanlah kami... Dan Kau berikanlah aku kekuatan dalan mengharungi hari mendatang..."


"Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertaqwa."
(Al-Furqan: Ayat 74)


"Amiinn..."