Nov 19, 2011

Aku dan Dia: Intro (Part 1)

Malam yang sejuknya agak luar biasa. Kipas dengan kelajuan 2 mampu membengkakkan tonsil. Huh! Silap aku...
Aku terlupa yang tekak aku dah mula lain macam sejak malam tadi. Ditambah pula dengan 'ais krim salad' yang menjilat jari. Err... Nak menyesalpun, benda dah lepas... Urm...


Semalam...


Hari Jumaat yang indah namun agak pendek ku rasakan bilamana kesibukan dari rumah hingga ke pejabat sampai la ke Klang menghiasi hari dari mula bangunnya aku jam 4.44 pagi hinggalah tidurnya aku jam 12.00 tengah malam.


Awal pagi, aku menjalani rutin harian bergelar seorang bapa yang menyekolahkan dua orang anak yang comel dan baik, aku harus pantas untuk bangun, 'termenung' dalam bilik air dan mandi. Masa agak kritikal. Terlewat sedikit, aku akan terlepas untuk berTahajjud. Alhamdulillah, amalan yang banyak membantu aku dalam memperbaiki kesihatan.
Memperbaiki dalam menenangkan emosi dan memperkasakan jasmani.


5.30 pagi, tiba masa untuk mengejutkan Iskandar. Kacau dia tidur... Cium pipi dia banyak kali, gomol sepuasnya dan lekapkan bibir dipipinya. Pastinya lepas tu Iskandar akan tersenyum. Hatinya lembut. Mudah tersenyum meskipun tengah marah.


Aku tepuk pehanya perlahan. Dua kali.


"Is, bangun mandi. Ayah gosokkan gigi, sabun belakang...," ayat memujuk. Ayat tu kini dah jadi seakan rutin. Salah satu 'permintaan manja' dari Lyana dan Iskandar adalah pertolongan dari aku untuk menggosokkan gigi mereka. Takde sebab dan tanpa alasan apapun dari mereka. Saja, nak manja atau malas. Aku ambil alasan 'nak bermanja' sebab lebih memotivasi... Dan bab sabunkan belakang mereka tentunya sebab tangan sendiri memang tak sampai dan tak rata.


"Huh! Belakang aku siapa nak sabun kan?" hehe... Mengomel sendiri didalam hati.


Mula-mula dulu, agak kelam kabut jugaklah. Setiap inci perkara dan perbuatan perlu tangan aku. Tapi bila aku dah bertemu rentak kerja, yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan sambil masa menunggu aku gunakan untuk tugasan lain. Kiranya 'line balancing' yang aku buat agak berjaya.
Hal penyediaan baju, basuh, sidai, gosok semuanya aku lakukan dimalam hari. Perlu selesai sebelum tidur.


Dalam baring, Is mendepakan tangan. Aku angkat dan dukung hingga ke depan bilik air.
Aku bantu bukakan baju dan seluar.


"Baju masuk dalam bakul," arah aku.


"Is kencing dulu... Kejap lagi Ayah gosokkan gigi...," mata seakan sukar dibuka, Is berjalan lesu memasukkan baju ke dalam bakul, masuk bilik air dan mencangkung.
"Zuuupppp..."


Ceh! Tutup la pintu kot yer pun...


Aku mengambil kesempatan menjerang air.


Aku buka pintu bilik air, Is masih mencangkung. Statik!


"Basuh cepat Is...," barulah bergerak. Pili dibuka, air paip mencurah perlahan. Aku tutup pintu kembali.


Selesai menggosok gigi, aku 'on'kan shower. Water heater.


Tengah Is mandi, sempat untuk aku bancuhkan air sirap untuk dibawa ke sekolah. Kena bawak bekal air. Tapi mereka taknak air kosong. Sirap kegemaran Iskandar. Lyana pula suka 'air hijau Pak Uda'. Tapi sebab mereka masih batuk, aku tak beri air hijau tu. Tak pastilah samada teori logik atau mitos, tapi tekak aku memang tak selesa minum air hijau tu bila batuk.


Selesai bancuh air, aku 'off'kan shower.
"Sabun badan...," aku capai sabun dan sabunkan belakang Iskandar. Dah buat janji, kena tunaikan. Hehe... Kalau tak lupa, mereka akan tuntut. Layankan aje!


Hingga selesai mandi, aku selesai sediakan air untuk bekal mereka dan air minum pagi. 2 hari ni, aku bagi air susu coklat Dutch Lady kotak kecik yang mampu memenuhkan dua biji cawan. Nak cepat.


"Cari baju dan spenser dalam almari," sejak ada almari minggu ni, kerja pagi aku dah berkurang. Iskandar dan Lyana aku dah ajar yang situ tempat baju Lyana, yang situ Iskandar. Sini spender Lyana. Situ Iskandar. Dan aku ajar mereka untuk menyusun baju dalam almari.


Masa untuk mengejut Lyana.


Adakalanya senang Lyana bangun. Alhamdulillah. Tapi kebiasaannya...


"Astaghfirullah hal 'azim..."


"Lyana, meh mandi. Ayah dukung. Ayah gosokkan gigi. Ayah sabun belakang..."


"Nak ayah mandikan...," cakapnya tersekat-sekat. Mamai!


"Lyana dah besar. Ayah gosokkan gigi, sabun belakang..."


"Nak Ayah mandikan...," Lyana sambung tidur.


Erk!


"Jom tukar baju sekolah. Tak yah mandi," aku buat-buat nak bukak seluar dia.


Lyana mengamuk kecil. Aku peluk dan aku dukung.


Sebelum ni, aku jadi naik angin dan berkeras, memang tak jalan. Kena main psikologi. Kena banyak bersabar. Alhamdulillah ok la sket.


Sambil Lyana mandi, sempat aku sediakan roti tuna mayonais. Sequence sama macam Iskandar tadi. Cuma aktiviti selitan tu yang berbeza.


Selesai pakai baju, kami solat Subuh sama-sama. Tapi bukan berimam. Sebab masing-masing nak duduk depan. Yang paling best, bila nak sujud ada pulak yang berjalan ke depan sebab nak sujud sama depan dengan tempat sujud dahi aku. Bangun sujud boleh pulak merangkak kebelakang untuk duduk sama sebelah aku. Mula-mula dulu, aku memang tergelak kecil dalam hati. Hilang kusyuk beb! Ditambah pula konsisten Lyana yang tangan tak reti nak diam macam bersilat pun ada. Masa solat la baru mula sibuk nak betulkan serkup kepala dan tudung. Erm... Tapi sekarang aku dah terbiasa. Geli dihati tetap ada. Macam-macam kerenah.


Bila difikirkan, keindahan sebuah kehidupan sebenarnya akan wujud bila susah dan senang itu bercampur. Silih berganti mencorak rasa dihati agar kita sentiasa berfikir dan menghayati.


SubhanAllah... [sambung...]

No comments:

Post a Comment