Kembalinya kehadiran anak-anak dalam hidup aku kini kembali mencorak kehidupan aku.
Kehadiran itu atas dasar perbincangan dan niat untuk bantu-membantu dengan bekas isteri dan suaminya demi kebaikan, demi masa depan Lyana dan Iskandar. Kesilapan lalu, kejatuhan masa lalu membentuk saya kebangkitan bersama untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Dan kata 'lebih baik' itu kini bagi aku lebih terarah kepada penambah baikan diri dalam segala segi terutama dalam sudut keredhaan Allah.
Meskipun komitmen bertambah dari segi perbelanjaan, tenaga, masa, yang tampak optimum, namun semua itu masih didalam mampu. Bab komitmen, bagi aku segalanya boleh dan mampu tapi perlu ada rasa ikhlas yang tinggi serta rasa ingin mendapat redha Allah yang menebal. Permulaannya agak sukar. Perlu latihan hati, serta praktikal yang berterusan. Alhamdulillah, buat masa ini semuanya dalam jangkauan.
Sesungguhnya, kehidupan kita ini adalah satu proses pembelajaran jangka panjang. Tak dinafikan, kesilapan yang kita buat adalah pengajaran paling berkesan. Terkesan dan memberi kesan mendalam dihati. Cuma yang sedikit menyesakkan dada, lumrah masyarakat yang lebih mudah untuk mengingati 1 kesilapan terakhir yang kita buat berbanding 1000 kebaikan yang kita ada. Nak buat macamana, nasi dah jadi bubur. Paling tidak, langkah terakhir yang termampu adalah ubahsuai bubur itu menjadi 'bubur lambuk'. Digemari ramai. Sedap dimakan dan boleh dihadiahkan pada ramai. Erm... ;)
Alhamdulillah, nilai positif kian menebal pada diri. Terima kasih kepada Mak, Papa, Wan, Lin, Is, Lyana, Atok, seluruh ahli keluarga, teman-teman, rakan-rakan dan insan-insan istimewa serta keluarga mereka yang pernah hadir dalam hidup aku. Semangat, pengajaran, sokongan, kasih dan sayang membentuk satu anjakan tak terjangka. Tanpa kalian, aku tak mampu berdiri elok seperti hari ini.
Kini, usia perpisahan melampaui 30 bulan. Bukanlah satu jangkamasa yang pendek untuk aku harungi. Kalau berhutang dengan Court Mammoth boleh dikatakan dah habis bayar lah... Hehe... Saja mengarut!
Bab sunyi, aku tak nak fikirkan sangat. Rasa sunyi itu telah melukakan hati orang. Dan akhirnya aku yang berdosa.
Siapa kata aku mampu hidup tanpa teman? Jelas, memang aku tak mampu. Tapi perlu tenang dan betul mengenali hati.
Banyak perhubungan yang berakhir ditengah jalan. Sebab ia dimulakan dengan rasa sunyi. Sunyi tidak boleh dijadikan alasan untuk bercinta. Aku bercerita tentang diri aku. Dan itu pendapat aku. Pengalaman mencorak hujah dan pendapat.
Sunyi kemudian berteman. Seronok! Lepas tu? Seronok berteman dan jatuh cinta? Benarkah cinta atau desakan rasa dan nafsu yang memuncak? Seringkali, rasa itu makin menyurut dan goyah.
Kegoyahan rasa itu membuatkan aku tak kuat untuk berkomitmen. Fikir itu tak mampu. Ini tak mampu. Aku pernah benar-benar jatuh cinta. Aku tahu bagaimana rasa itu dan tinggi ketahanannya. Yang mana dengan rasa itu orang mampu mengeluarkan kata, "Lautan api akan ku renangi..."
Aku kenal diri aku. Tahap kemampuan aku. Dan aku taknak jadi lelaki yang mementingkan diri dengan mengambil kesempatan atas rasa cinta wanita.
Kalau orang tanya, "Kau nak kahwin?"
Jawapan pasti aku adalah "Ya!" Konfiden tahap cipan! Bersemangat macam masa aku menyanyi lagu sekolah masa darjah dua dulu. Err...
Tapi dengan siapa? Jawapan itu hanya hati dan jiwa didalam aku yang mampu menjawab. Yang mampu kekal dan kuat mengasihi dengan hadirnya ikatan luar biasa yang tak terjangkau dek fikir logik kita.
Mengikut pengalaman, ada 3 golongan wanita yang membentuk rasa luar biasa.
Aku pernah kenal 3 orang berbintang Cancer. SubhanAllah... Tenang dan mendamaikan hati. Sungguh luar biasa. Namun mereka bukan milik aku. Positif perhubungan, mudah untuk berinteraksi, komunikasi dan saling mampu mendengar kata.
Aku pernah kenal 2 orang berbintang Virgo. Ikatan rasa yang baik walau tanpa kata. Walau kurang berhubung, ikatan masih baik. Agak pelik. Tapi itu hakikat. Golongan Virgo cepat mesra dengan Lyana dan Iskandar.
Dan aku paling tertarik dengan Leo. Aku tak tahu kenapa? Apa kaitan Singa dengan Kala-Jengking? Mungkin sama-sama punya kekuatan tersendiri tapi takkan mampu menjatuhkan antara satu sama lain. Pendapat sekadar teori kosong. Cumanya, aku tak tahu si Leo mudah mesra atau tidak dengan anak-anak aku yang berbintang Sagitarrius. Tiada peluang...
Itu semua sekadar kebetulan. Namun rasa itu hadir dihati dan tak siapa tahu.
Aku sentiasa berdoa agar dikurniakan pasangan dan zuriat yang menyejuk hati.
Aku bersyukur dengan apa yang aku ada hari ini. Namun aku masih berharap akan ada jodoh untukku. Jodoh yang baik untuk aku, anak-anak serta keluarga. Dalam masa yang sama aku kuat untuk memberi yang terbaik.
"Cinta adalah memberi... Seikhlas mungkin, sebanyak boleh... Balasan cinta adalah anugerah. Untuk dipelihara dan dijaga baik."
No comments:
Post a Comment