Rasulullah S.A.W. bersabda; "Barangsiapa yang menikahkan (puterinya) kerana kekayaan lelaki, meskipun buruk agama dan akhlaknya, maka pernikahan itu tidak diberkati-Nya.
Siapa yang menikahi wanita kerana kedudukannya, Allah akan menambahkan kehinaan kepadanya, Allah hanya akan memberi kemiskinan.
Siapa yang menikahi wanita kerana bagus nasabnya, Allah akan menambah kerendahan padanya.
Namun barangsiapa yang bernikah kerana ingin menjaga pandangan dan nafsunya atau kerana ingin mempereratkan kasih-sayang, Allah akan sentiasa memberi berkat dan menambahkan keberkatan itu padanya"
[Hadith Riwayat Tabrani]
Alhamdulillah, selesai urusan sekolah anak-anak.
Lyana dapat tempat ke-14 dari 18 pelajar dalam kelas. Alhamdulillah...
Peratusan keseluruhan menurun sedikit. Bila aku teliti dua subjek yang markahnya menurun. Agak ketara. Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Erm, kira logik la jugak. Sebab kitorang ni berketurunan Peranchis. Sebab tu Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab kitorang lemah. Hehe...
Bekas isteriku datang sorang. Jadi kami berempat la tadi disekolah. Boleh la disebutkan sebagai 'ex-family'.
Apapun keadaan, bagi aku perkara yang paling penting ialah lakukan yang terbaik untuk anak-anak. Dan jangan kedekut untuk mendoakan kebaikan serta kebahagiaan orang lain.
Aku lega bila melihat bekas isteri ku kini hidup bahagia dan stabil dengan suami barunya. Tambah-tambah selepas dikurniakan seorang putera yang comel. Sesungguhnya Allah Maha Luas Pengetahuan-Nya. Jelas, perpisahan adalah jalan terbaik buat kami. Walau pada mulanya, banyak kekurangan perlu ditampung selain masalah emosi. Tapi hakikatnya, Allah menunjukkan cara bagaimana untuk keluar dari jalan buntu walau betapa pahit rasa ketika itu dan betapa perit untuk ditelan.
Kesan positif kebahagiaan dan kestabilan rumahtangga akhirnya akan mengalir pada Lyana dan Iskandar. Akupun dapat tempias. Tiada apa yang lebih baik selain kebahagiaan dan ketenangan dalam kita hidup didunia ni.
"Lyana nak ikut Ayah," err... Aku pandang bekas isteriku. Muka dia tenang. Masa dan pengalaman banyak membantu mematangkan kami. Belajar untuk tenang, bertoleransi dan berkomunikasi.
"Ok la. Mommy tak nak paksa-paksa," lega aku dengar jawapan tu. Lagipun emosi Lyana agak 'fragile' yang memerlukan teknik yang berkesan dalam menangani kehendaknya.
Aku dan Lyana balik Klang. Iskandar akan menyusul kemudian. Perancangan petang ni untuk mendaftarkan Iskandar bersunat di Klang. Is 'buta'. Doktor perlu periksa sebelum tarikh 'penyunatan' (hehe) dapat ditetapkan.
Dalam kereta Lyana batuk-batuk. Risau gak melarat. Suara diapun berubah. Sakit tekak agaknya. Moga cepat sembuh!
Mujur ada Lyana meneman. Memang banyak ketika kini aku rasakan yang aku kesunyian. Mujur ada 'perasaan' yang kuat itu membangkitkan motivasi. Perasaan yang membangunkan aku dari lena. Kembali tekun mendekatkan diri dengan Ilahi. Tidak lagi berkhayal yang tidak-tidak. Dan yang paling penting, aku tidak lagi migrain mahupun sakit kepala.
Kini tiba giliran aku untuk mencari pasangan hidup. Mampu menemani aku disetiap saat aku memerlukan. Berkongsi rasa kasih dan sayang.
Jodoh yang baik dan solehah untuk aku, anak-anak, keluarga dan masyarakat. Bunyi macam keterlaluan, tapi tanpa impian takkan terzahir usaha. Dan aku yakin dengan doa dan Istikharah.
Bukan tidak penah aku mencuba, namun berkali juga aku gagal sebelum ni bila mana perasaan aku menyurut dan adakalanya hilang. Suka dan seronok yang hanya hadir dipermulaan perkenalan sedikit merunsingkan. Mungkin juga itu hanya keterujaan dek terlalu lama sunyi bersendirian.
Bukan aku tak mencuba. Aku juga beristikharah. Aku yakin pengakhiran duka sebelum-sebelum ini petunjuk Istikharah.
Kini aku perlu lebih berhati-hati agar tiada lagi yang terluka. Dan yang satu ini telah lama ku kenali. Lama juga aku berkawan dan aku juga pernah 'lari' demi mengelak dari kekecewaan yang sebenarnya aku tak pasti. Tapi, tak benar mencuba, manakan tahu jaya atau kecewa dihujung cerita, kan?
Aku nekad. Kali ni aku akan fokus dan hadapi setiap saat dan ketika dengan tenang dan teratur. Perlu ada niat yang kukuh serta perancangan yang rapi.
Demi memiliki 'si Umaira penenang hati'...
Moga Allah permudahkan jalan untukku... Amiinn...
No comments:
Post a Comment