"Seeloknya jumpa Urologist dulu...," antara ayat doktor yang aku masih ingat. Dia boleh sunatkan Iskandar. Tapi 'belon' pelik tu perlu mendapat komen pakar Urology. Mula-mula agak pelik jugak dengan perkataan tu sebab memang aku tak pernah dengar sebelum ni. Almaklum, belajar tak berapa tinggi. Neurology pernah la sebab aku ada masalah migrain sebelum ni.
Tertangguh...
Lyana pula demam panas. Aku suspek tekak yang jadi punca. Budak. Berbuih aku pesan jangan minum air sejuk, jangan minum ais, jangan makan ais krim... Tapi apa kan daya. Lagi dilarang, lagi seronok la bila aku takde. Setiap kali demam, punca tekak sebab ais. Wallahu'alam. Tapi Allah menguji atas mampu hambaNya. Dan Dia uji sebab Dia sayang.
Malam ni aku tidur awal. Migrain sket bila adalah masalah (ada alasan untuk cari teman berkongsi suka dan duka... Hehe...).
3.30 pagi aku terjaga sebab nak solat Isyak. Dah niat, memang senang bangun. Aku rasa badan Lyana. Makin bahang. Aku pakaikan 'Cool Fever' didahinya.
Selesai Isyak, aku cari bekas, ais dan tuala. Isi air paip, lap badannya. Lepas makan ubat, Lyana sambung tidur. Masih batuk-batuk. Agak teruk. Awal pagi esok terus kena pergi Klinik Aniza.
Sambung Tahajjud dan Witir. Dah jadi rutin. Tapi biasanya aku buat Witir lepas Isyak. Sebab takut terlajak tidur dan tak sempat berTahajjud. Satu proses perubahan jangkamasa panjang. Macam kebanyakan insan bergelar manusia, segala perubahan positif tu hanya berlaku selepas mengalami kegagalan dalam hidup. Kegagalan yang memberi impak besar dalam kehidupan. Susah sangat nak ambil iktibar dari kegagalan orang lain.
Macam aku, kegagalan rumahtangga membawa aku kepada proses kemurungan yang panjang. Sebab terlalu lama aku 'menyorok', akhirnya aku mula mendekatkan diri dengan Masjid. Menginsafi kekurangan diri. Aku mulai mendekati majlis-majlis ilmu. Solat berjemaah diawal waktu. Aku yakin itu doa Mak. Sebab Mak memang risau dengan masalah kemurungan aku.
Hinggalah aku bertemu beberapa orang insan bergelar wanita. Yang mengajar aku berTahajjud. Ada yang mengajar aku berWitir dan Dhuha. Ada yang menekankan cara hidup yang sihat. Yang mengajar aku erti 'bersedia dan realistik' menghadapi alam perkahwinan. Dan kini, mungkin masa yang elok untuk aku benar-benar mencari pasangan hidup sekali lagi.
Jam menunjukkan 4.30 pagi. Lyana mengigau. Cakap sorang-sorang. Macam berborak dengan adiknya siang tadi. Comel pulak aku dengar. Tapi tak sempat nak rakam. Hehe...
Kipas ku perlahankan. Tekak aku pulak yang terasa sakit bila kipas laju sangat.
Aku matikan lampu. Menulis dalam gelap tak elok. Tapi mengganggu orang tidur disebabkan lampu siling terang benderang lagi tak elok.
Sedikit persoalan berlegar.
Jawapannya mungkin berguna untuk semua.
Soalan: 'Benarkah cinta yang hangat dan mendalam itu penting dalam sesuatu perhubungan?'
Jawapan peribadi aku, Ya! Sangat penting.
Kenapa? Bagi aku, perasaan cinta, kasih dan sayang membentuk motivasi luar biasa dalam kita menjalankan tanggungjawab kepada pasangan dan keluarga. Sebab itu ia perlu sentiasa hangat.
Aku realistik bab benda ni sebab aku tahu benar tentang kerenah diri aku, jiwa aku.
Urm... Ketandusan idea.
Mata makin pedih. Nak sambung tidur ker?
Aku rasa badan Lyana. Erm, panasnya dah surut.
Doa aku, akan ada insan yang benar buat aku. Saling punya rasa cinta, saling bertanggungjawab dan saling menenangkan hati. Aku yakin dengan doa. Aku yakin dengan janji Allah. Dan sesungguhnya hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya hari ini dan apa yang terbaik untuk hamba-Nya hari esok dan seterusnya...
SubhanAllah...
Alhamdulillah... ;)
No comments:
Post a Comment