1 Muharram 1433... Aku tidur agak lewat. Lebih kurang jam 1 pagi baru aku benar lelap. Apa yang aku menungkan? Entahlah... Yang pasti, sehari-dua ni aku agak sunyi. Mujur siang hari aku ada banyak aktiviti. Pergi pasar. Pergi kedai hardware. Pergi rumah orang kahwin. Semua tu aktiviti dalam beribadah. Beribadah maksud aku adalah berbakti kepada kedua ibu-bapa.
Bab sunyi, segala kemungkinan untuk mendapat pasangan tidak lagi ku fikirkan sangat kini. Aku tahu agak payah untuk aku mencari yang mampu aku terima sepenuh hati. Punya asas agama yang baik, mampu terima aku, mampu terima anak-anak aku, mampu terima keluarga aku, bekerja dekat dengan rumah aku... Mahu atau tidak, hakikat perlu aku telan yang pencarian kini semakin sukar.
Mata aku mampu dikaburkan dengan kecantikan, tetapi hati, rasional serta sifat realistik aku amat sukar untuk diyakinkan.
"Aku nak bangun tahajjud...," aku berniat sebelum tidur. Dalam pada itu, aku teringin untuk menghadiri kuliah Subuh di Masjid Nurul Iman Kampung Delek. Sempat aku belek risalah Sambutan Maal Hijrah daerah Klang sebelum membaca doa akhir tahun senja tadi. Ustaz Don yang akan beri ceramah.
Sebelum ini, aku tak kenalpun Ustaz muda ini. Entah macamana beberapa hari lepas aku tergerak untuk menonton tv dan aku buka tv Al-Hijrah. Ada seorang ustaz sedang mengajar cara mewudhu'kan orang yang lumpuh. Cara penyampaiannya segar dan bersahaja.
Tepat jam 4.44 penggera handphone berbunyi. Alhamdulillah aku bangun dengan rasa cukup segar.
Aku bingkas bangun. Tuala ku capai. Rutin biasa, aku akan cari sedikit air masak. Kumur dan telan.
Selesai mandi, sempat untuk aku bertahajjud dua rakaat.
Sempat nak ke masjid ni. Wajah Ustaz Don mula terbayang. Dengan berniat, aku dapat rasai akan dorongan rasa itu akan membuatkan kita jadi kuat. Sedar atau tidak, tubuh badan juga beri reaksi yang sama.
"5.30...," masa untuk gerak. Aku tanya Papa semalam. Papa kata Masjid Nurul Iman letaknya di Kampung Delek Baru. Dekat jugak ler dengan tempat memancing yang rakan-rakan VID pergi hari tu.
Aku letak kereta diluar masjid. Dari luar aku lihat banyak khemah didalam pagar masjid. Malas nak parking kat dalam, nanti susah nak keluar.
Imam sedang membawa makmum berqiamullail. Tak habis lagi...
Ramai budak-budak. "Dari sekolah tahfiz mungkin?" Kata hati kecil.
Aku, Tahiyyatul masjid...
Mereka, witir...
Azan mula berkumandang. Aku rasa agak segar Subuh ini. Cuaca agak sejuk diluar. Ku perhati, orang makin ramai.
Selesai solat, Ustaz Osman yang membawa jemaah berqiamullail tadi, membaca doa. Sedap suaranya. Indah intonasinya... Setiap butir meruntun kalbu. Meresap...
Kehadiran Ustaz Don selepas itu dinanti.
Murah dengan senyuman. Berbeza dengan ustaz lain, Ustaz Don ni banyak menggunakan bahasa badan. Muka, tangan, badan. Agak menarik. Ustaz Don Daniyal. Namapun unik.
Pakcik sebelah sering gagal mengawal tawa. Kuliahnya santai. Kupasan Al-Quran dan Hadis tentang tidur, selawat dan kepentingan untuk melahirkan generasi yang hafaz, faham dan amal Al-Quran. SubhanAllah...
Ibu-bapa yang anaknya menghafal, faham dan mengamal Al-Quran, diakhirat kelak akan dikurniakan sepasang mahkota. Mahkota itu bercahaya bersinar yang terang melebihi terangnya cahaya Matahari. SubhanAllah...
InsyaAllah, itu niat aku untuk Lyana dan Iskandar. Tapi perlu juga perbincangan, penerangan dan pemahaman antara aku dan Ila. Tiada yang lebih baik untuk ibu-bapa melainkan amal soleh, sedekah jariah dan anak-anak yang soleh.
Hari ini hari baru. Tahun baru. Azam baru. Aku terniat untuk berkahwin. Duit boleh cari. Calon isteri...? Err... Susah nak jawab. Kriteria meninggi atas banyak sebab. Aku yakin akan ada untuk aku.
Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Andai tiada di'sini', InsyaAllah ada di'sana'.
Aku teruskan berdoa... Aku teruskan berusaha...
"Ya Allah ya tuhanku, andai ada insan yang baik untukku, untuk anak-anakku, untuk keluargaku, Kau satukanlah kami. Andai sebaliknya, Kau jauhkanlah... Hanya kepadaMua aku berserah dan meminta pertolongan..."
Selesai Dhuha, aku berangkat pulang sambil menundukkan pandangan... "Cooobaaa annn...", hehe...
No comments:
Post a Comment