"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
(Ar-Rum: Ayat 21)
Aku tertarik dengan apa yang ditulis oleh Burhan Sodiq didalam bukunya; 'Ya Allah, Diakah Jodohku'.
Katanya,
"Islam memahami bahawa manusia tidak mungkin boleh hidup bersendirian. Dia memerlukan teman, bahkan lebih dari sekadar teman. Dia memerlukan suami. Dia memerlukan isteri. Dialah manusia. Manusia yang ditakdirkan untuk memiliki dan dimiliki. Bersandar dan disandari, saling menyayangi dan saling mencintai."
"Tip daripada Rasulullah S.A.W. dalam memilih calon belahan jiwa, carilah yang cantik parasnya, baik keturunannya, banyak hartanya dan yang paling baik agamanya. Namun, pilihlah calon yang beragama kerana ia lebih baik daripada seluruh isi dunia. Mohonlah petunjuk-Nya lewat Istikharah. Jika belum bertemu, bersabarlah dan yakinlah bahawa jodoh kita sudah ditentukan sejak azali."
"Teruslah mencari, berjalanlah tanpa henti. Semoga bertemu permata yang terbaik untuk dirimu, keturunanmu dan agamamu."
Lebih kurang jam 12.30 tengahari, aku berlegar ditingkat 1 Kompleks PKNS Shah Alam.
Terpandang si penjaga butik.
"Err... Tundukkan pandangan...," aku mengomel sendiri. Almaklum, penyakit keturunan - suka melihat keindahan ciptaan Ilahi.
Mak dan Lin ke tandas. Tujuan utama mencari selendang dan tudung Lin. Minggu depan Lin dah nak bertunang. Senang cerita, bertunang macam nak rak. Aku memang kurang bersetuju dengan cara orang sekarang. Keterlaluan dan berlebihan dan urusan tunang-nikah-kahwin. Tapi hak masing-masing.
Dalam menanti, aku terhenti disebuah kedai buku agama.
Mata aku terpaut pada sebuah buku. 'Ya Allah, Diakah Jodohku'. Penampilan kulitnya menarik disamping tajuk yang aku rasakan kena dengan keadaan aku sekarang.
Aku teliti muka yang menyenaraikan isi kandungan. Erm... Menarik. Aku menyelak spontan. '30 perbezaan Cinta antara Lelaki dan Wanita'...
Kali ni aku betul terpukul dengan perbezaan kedua, "Wahai lelaki, ketika engkau berasa tidak mampu menyimpan rahsia daripadanya, bererti engkau menyintainya..."
Erk!
Ada dua situasi dengan dua insan berbeza. Satu, aku berahsia untuk menjaga hatinya. Satu aku tak mampu berahsia juga untuk menjaga hatinya. Uh! Aku taknak olah lebih. Sedikit input yang berguna dalam kita menilai hati dan perasaan sendiri.
Terus Aku tutup buku tersebut.
"Assalamualaikum Bang. Ada tak buku yang macam ni lagi?"
"Wa'alaikum salam. Penulis yang sama?"
"Err... Tak. Tajuk. Err... Maksud saya tentang perihal mencari jodoh...," aku kurang fokus. Sesuatu kuat berlegar difikiran.
Beberapa jenis buku dari penulis dan penerbit yang berbeza. Namun, yang mula-mula aku temui tu yang terbaik. Terlalu kena dengan situasi. Tentang konflik hati.
"17 ringgit. 15 dah lah...," diskaun diberi tanpa diminta. Alhamdulillah.
Aku mohon resit. Untuk 'income-tax'.
Selesai solat Zohor, aku terperap dibilik melayan buku yang baru aku beli tadi. Dari coretan pengarang, setiap butir kata aku amati perlahan.
Baru semalam aku cakap pada Mak dan Papa...
"Kalau tak kahwin boleh tak?"
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas."
(Al-Ma'idah: Ayat 87)
Bernikah itu halal. Dan menidakkannya umpama aku mengharamkan diri aku menikah. Dan tindakan itu bolehlah dikategorikan sebagai melampaui batas. Urm...
SubhanAllah... Sesungguhnya aku amat terkejut dengan 'jodoh' aku dengan buku ni. Dua perkara yang mampu dirungkai. Satu, tentang perasaan aku. Dua, tentang keinginan aku.
Aku mulai sedar yang aku sebenarnya dalam bibit untuk 'menyintai' seseorang walau berkali aku cuba menidakkannya.
Walau berkali aku nafikan rasa dan cuba lari dari kenyataan.
Dan aku perlu kuat mengembalikan keinginan aku untuk berkahwin. Setidak-tidaknya jangan diulang kata 'tak nak kawin' atau berputus asa untuk berkahwin.
Ilmu Allah itu luas. Betapa kerdilnya aku dalam bermain rasa. Namun Alhamdulillah aku diberi petunjuk olehNya.
Kini, aku perlu fokus. Andai aku inginkannya, aku perlu berterus-terang dan cuba sedaya mampu. Tiada lagi masalah soal hati dan perasaan. Cuma perlu diperkuat agar tiada lagi konflik keyakinan.
Yang baik takkan datang bergolek. Kriteria aku, komitmen serta status membayangkan segalanya tentang jodoh buat aku tampak kritikal. Dengan usaha, aku yakin segalanya mampu terzahir buat aku.
"Ya Allah ya Tuhan ku... Andai dia baik untukku, Kau satukanlah kami. Andai sebaliknya, Kau jauhkanlah kami... Dan Kau berikanlah aku kekuatan dalan mengharungi hari mendatang..."
"Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertaqwa."
(Al-Furqan: Ayat 74)
"Amiinn..."
No comments:
Post a Comment